MUZIK merupakan antara seni yang sentiasa berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri kreatif.
Di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, khususnya bagi program Konservatori Muzik di Kolej Pengajian Seni Kreatif, komitmen untuk melahirkan komposer, pendidik serta pemain alat muzik yang berkualiti tinggi tidak hanya bertujuan memartabatkan seni muzik tempatan, malah ia agar dapat membawa nama UiTM ke persada antarabangsa.
Menurut Ketua Pengajian Konservatori Muzik, Dr Juriani Jamaludin, UiTM mengukir nama sebagai universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program muzik.
BACA LAGI: [VIDEO] Penghantar piza jadi hero sanggup redah api selamatkan 5 mangsa kebakaran di AS
BACA LAGI: Jumlah simpanan asas persaraan KWSP dinaikkan kepada RM390,000 menjelang Januari 2028
Dr Juriani Jamaludin. — UiTM Shah Alam
Juriani berkata, sejak penubuhannya, UiTM menjadi pusat kecemerlangan pendidikan muzik di Malaysia dengan melahirkan ramai graduan yang telah memberi impak besar dalam industri muzik tempatan terutama bidang nyanyian dan penghasilan karya muzik.
Kini, dengan perubahan nama kepada Muzik Konservatori, UiTM terus menerus memperkenalkan program-program yang lebih spesifik dan mendalam.
Antaranya seperti program komposisi muzik bertujuan untuk melahirkan komposer-komposer baharu yang akan mengembangkan industri muzik tanah air.
"Kalau kita tengok ya, nak jadi seorang komposer ni mungkin orang anggap kadang-kadang tu tak perlu masuk universiti pun boleh jadi komposer.
"Sebenarnya ada sesetengahnya yang boleh mengarang lagu tetapi tak boleh gubah lagu.
"Disebabkan itu, di sini, pelajar-pelajar kami diajar untuk menggubah dan menulis semula lagu asal dengan baik," katanya kepada Majoriti.
Katanya, pendidikan dalam komposisi muzik di UiTM memberi pengetahuan mendalam tentang teori muzik, penyusunan lagu dan cara mengatur muzik dalam pelbagai genre, baik klasik mahupun moden.
Proses itu bukan sahaja memperkaya pengalaman muzik pelajar tetapi juga memberikan mereka peluang untuk berkolaborasi dengan pemain alat muzik profesional.
Dengan menghasilkan komposisi baharu, pelajar-pelajar itu dapat menyumbang kepada perkembangan industri muzik Malaysia, memperkenalkan karya-karya mereka ke luar negara sekaligus membawa nama UiTM lebih jauh.
Para pelajar diberi peluang dan pendedahan dalam bidang muzik. — Gambar hiasan
Karya-karya yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar UiTM sering dijadikan sumber inspirasi dalam industri muzik dan berpotensi untuk mengubah landskap muzik tempatan.
Katanya lagi, pemilihan pelajar bagaimanapun perlu ditapis untuk menentukan kelayakan mereka melanjutkan pengajian di dalam bidang tersebut.
"Sebenarnya bukan semua pelajar dapat ambil jurusan ni sebab mereka perlu melepasi uji bakat.
"Sepanjang uji bakat itu juga ada yang tak boleh baca note atau tiada asas langsung dalam muzik.
"Jadi, kami akan pilih yang sekurang-kurangnya ada bakat semula jadi, contohnya boleh menyanyi dengan nada yang betul atau boleh bermain alat muzik.
"Jadi, di sini bakat dan kemahiran mereka hanya perlu digilap," katanya.
Setiap pelajar perlu sekurang-kurangnya mempunyai bakat semula jadi walaupun bermain alat muzik. — Gambar hiasan
Juriani bagaimanapun berkata bahawa semua program memerlukan kemahiran bermain alat muzik.
Katanya, selain kemahiran bermain alat muzik, terdapat juga program muzik yang memberi fokus kepada pengurusan muzik, iaitu Sarjana Muda Perniagaan Muzik.
"Program ini membolehkan pelajar mengembangkan pemahaman kritikal terhadap kehendak dan keperluan dalam dunia perniagaan, pengurusan muzik, serta industri muzik.
"Melalui kerja kursus seperti kepimpinan dan etika perniagaan, kajian kes, serta sesi bersama panel industri yang berpengalaman, pelajar turut didedahkan kepada perspektif dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam bidang ini," jelasnya.
Katanya lagi, dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh teknologi kini, muzik dilihat masih kekal relevan dan akan terus berkembang.
Meskipun industri muzik mungkin kelihatan kecil, sebenarnya ia sangat luas.
Seiring dengan kemajuan teknologi, muzik juga semakin mudah diakses dan dipelajari.
Penggunaan alat digital dan perisian muzik kini memberi para pelajar peluang untuk belajar dengan cara yang lebih moden serta praktikal.
Dengan pendekatan pendidikan yang holistik ini, UiTM bukan sahaja menghasilkan pemain muzik yang mahir, tetapi juga komposer, pendidik, dan pengurus muzik yang berpengetahuan luas.
Setiap pelajar juga tidak hanya diajar untuk bermain muzik, tetapi juga untuk memahami muzik secara mendalam iaitu daripada teori hingga kritikan muzik. Ini memberikan mereka kelebihan untuk bersaing di industri muzik yang semakin kompetitif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram