POLIS menahan tiga penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Seri Iskandar, Perak berhubung dengan kejadian kes pukul seorang pelajar lain di asrama sehingga cedera.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 20 tahun ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada Selasa.
"Bapa mangsa membuat laporan pada pukul 6.45 petang Selasa lalu.
BACA LAGI : Seramai 12 pelajar UMT direman kes pukul bergilir-gilir pelajar guna objek tumpul hingga cedera
BACA LAGI : [VIDEO] Cederakan mangsa guna pisau lipat, 5 lelaki bergaduh angkara salah faham ditahan polis Kuala Lumpur
"Lelaki itu mendakwa anak lelakinya yang berusia 18 tahun telah dipukul beramai-beramai di dalam bilik asrama oleh rakan sekelas mangsa.
"Berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu dengan mangsa mengalami kecederaan di telinga, luka dan bengkak pada bahagian kening sebelah kanan, lebam di tangan dan kaki kiri serta kesan merah pada perut dan tengkuk," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau lagi, mangsa telah menerima rawatan pesakit luar dan kini berada dalam keadaan stabil.
"Siasatan awal mendapati motif pergaduhan antara kumpulan pelajar itu ekoran perselisihan faham dan provokasi yang berlaku di bilik asrama IPT berkenaan.
"Tiga pelajar yang ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu dan berakhir pada Jumaat akan dilepaskan dengan jaminan polis.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram