SEORANG wanita hilang nyawa dalam keadaan yang cukup tragis selepas diserang seekor buaya di pantai Pulau Tello, Nias Selatan, Sumatera Utara pada Jumaat lalu.
Kejadian malang yang menimpa mangsa yang hanya dikenai Wati Zuria pada mulanya didakwa berlaku di Sandakan, Sabah selepas video itu mula tular di aplikasi WhatsApp pada Rabu sehingga menimbulkan kegusaran awam.
Memetik laporan berita antarabangsa, pada waktu kejadian mangsa sedang mandi di belakang rumahnya sebelum disambar buaya tersebut.
Kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga ahli keluarganya yang melihat kejadian itu tidak sempat bertindak.
Difahamkan, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari mulut buaya tersebut selepas haiwan itu ditembak oleh pihak berkuasa.
Menurut Ketua Pegawai Daerah Pulau-Pulau Batu, Kornelius Wau, kejadian itu merupakan serangan pertama di kawasan tersebut.
"Buaya berkenaan telah lama dilaporkan berkeliaran di sekitar pantai, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
"Seekor buaya liar telah menyerang dan mengorbankan salah seorang penduduk di kawasan pantai. Kami sangat berdukacita atas kejadian ini,” kata Kornelius dalam kenyataan pada Isnin.
Sebab itu aku takut nak mandi laut sekarang pic.twitter.com/5rwmBK5Ks3
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) December 18, 2024
Melalui video tular itu memaparkan penduduk setempat yang berusaha menyelamatkan mangsa menghadapi kesukaran kerana bimbang turut menjadi sasaran buaya.
Menurut Kornelius, situasi genting tersebut memaksa pihak berkuasa melepaskan tembakan untuk melumpuhkan haiwan itu.
“Setelah berjam-jam usaha dilakukan, mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dari mulut buaya dengan bantuan penduduk, dan haiwan itu berjaya dilumpuhkan,"katanya.
Susulan insiden ini, Kornelius turut menyeru Kerajaan Provinsi Sumatera Utara melalui Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) untuk mengambil tindakan segera.
Jelasnya, ancaman dari buaya liar masih berpotensi berlaku, terutama kepada penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan bergantung kepada laut untuk mencari rezeki.
“Sebahagian besar penduduk kami, hampir 80 peratus, bergantung pada laut sebagai sumber mata pencarian. Banyak rumah mereka juga terletak di pinggir pantai. Kehadiran buaya ini adalah ancaman besar yang tidak boleh dibiarkan,” tegasnya.
Tambah beliau lagi, penduduk kini hidup dalam ketakutan kerana buaya masih kerap dilihat di kawasan sekitar pantai, yang menjadi lokasi utama mereka menjalankan aktiviti harian.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat segera bertindak agar keselamatan penduduk terjamin. Kami tidak mahu hidup dalam keadaan yang terus menakutkan seperti ini,” katanya.
Kejadian tragis itu turut menjadi peringatan serius tentang pentingnya langkah pencegahan dan pengurusan habitat buaya di kawasan pesisir. Penduduk berharap agar kerjasama antara kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat diwujudkan untuk mengelakkan insiden serupa berulang pada masa depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram