[VIDEO] Dua maut pesawat terhempas rempuh bangunan di Hawaii


  • Benua
  • Rabu, 18 Dis 2024

Tangkap layar sebuah pesawat ringan, Kamaka Air 689 yang dinaiki mereka mengalami masalah teknikal lalu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Honolulu, Hawaii pada petang Selasa.

DUA individu terbunuh selepas sebuah pesawat ringan, Kamaka Air 689 yang dinaiki mereka mengalami masalah teknikal sebelum terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Honolulu, Hawaii pada petang Selasa.

Memetik laporan media antarabangsa, kemalangan melibatkan kapal terbang milik Kamaka Air Cessna Caravan berlaku sekitar pukul 3:15 petang (waktu tempatan) selepas pesawat itu berlepas menuju ke Lapangan Terbang Lanai.

Juruterbang dan seorang lagi mangsa yang tidak didedahkan namanya itu meninggal dunia di tempat kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek mengaku bunuh, ambil barang kemas Nurul Asikin kerana terdesak wang mahu lihat aksi Harimau Malaya di Kemboja

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Honolulu (DOT), Ed Sniffen berkata, pesawat itu terhempas ke dalam sebuah bangunan terbengkalai berhampiran lapangan terbang.

"Tiada sesiapa di dalam bangunan tersebut pada masa kemalangan kerana bangunan itu dijadualkan untuk dimusnahkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai tragedi yang besar dan keadaan itu boleh jadi lebih buruk sekiranya juruterbang tidak berusaha untuk meminimumkan kesan impak.

"Juruterbang telah sedaya upaya membuat beberapa penyesuaian untuk meminimumkan impak," kata Sniffen, sambil menambah bahawa tapak kemalangan itu terletak berhampiran dengan stesen pengisian bahan api lapangan terbang.

Anggota penyelamat, termasuk Jabatan Bomba Honolulu (HFD) dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Honolulu (EMS), tiba di lokasi kemalangan sejurus selepas kejadian.

Ketua HFD, Sheldon Hao, mengesahkan bahawa api dari kemalangan itu terkawal di bahagian luar bangunan dan pesawat.

"Bomba berjaya mengawal keadaan dengan cepat serta api kebakaran berjaya dipadamkan tepat pada masanya

"Kami juga ingin mengucapkan takziah kepada kedua-dua mangsa yang maut dalam kemalangan itu," katanya.

Kemalangan itu berlaku hanya beberapa blok dari ibu pejabat EMS, dan pasukan penyelamat berada di lokasi hampir serta-merta.

Pada masa sama, Gabenor Hawaii, Josh Green turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Hati Jaime dan saya bersama juruterbang dan penumpang serta keluarga mereka, serta semua yang terkesan oleh kejadian yang traumatik ini," ujarnya.

Beliau menambah bahawa perkhidmatan sokongan disediakan untuk mereka yang terjejas oleh kemalangan itu dan menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan akan membantu penyiasat persekutuan dalam menentukan punca kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Honolulu, Rick Blangiardi, turut mengucapkan takziah.

"Kejadian yang menyedihkan ini mengingatkan kita tentang dedikasi dan risiko yang diambil oleh mereka yang membantu memastikan barangan penting di Hawaii terus bergerak," katanya

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang menyiasat punca kemalangan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram