PERSELISISHAN faham menjadi punca sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan salah sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad.
Pergaduhan itu juga menyebabkan tiga individu cedera di muka dan beberapa anggota badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, kejadian pada pukul 4.03 pagi itu melibatkan empat hingga lima individu sebelum salah seorang suspek bertindak ganas menggunakan pisau lipat untuk mencederakan mangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
"Dalam pergaduhan tersebut, mangsa pertama mengalami luka dan kesan kelar di bahagian lengan kiri, manakala mangsa kedua cedera di bahagian muka sebelah kiri dari kening hingga ke bibir.
"Sementara itu, mangsa ketiga mengalami luka di kepala kanan sehingga memerlukan 10 jahitan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Salah faham antara punca sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan salah sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad.
Pergaduhan itu juga menyebabkan tiga individu cedera di muka dan beberapa anggota badan.
Kredit: Edisi Siasat pic.twitter.com/aa0UG51awM
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) December 17, 2024
Jelas beliau lagi, ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta berhampiran.
Susulan kejadian itu juga, polis berjaya menahan lima suspek lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 30 tahun untuk membantu siasatan.
Menurut Sulizmie, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
"Permohonan reman terhadap semua suspek telah dibuat pada Selasa di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular satu video di laman Telegram memaparkan beberapa video dan gambar sekumpulan individu bergaduh di sebuah premis sehingga mengundang kegusaran orang awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram