Wanita nekad gigit tangan, cakar muka elak dirogol penjenayah di Kluang


  • 112
  • Rabu, 18 Dis 2024

Suspek (berbaju putih) berjaya ditahan oleh orang awam selepas mangsa berjaya menyelamatkan diri dari lokasi kejadian.

SEORANG wanita terselamat menjadi mangsa rogol di sebuah tandas awam di Laman Kampung Melayu dekat Kluang, Johor selepas menggigit tangan serta mencakar wajah suspek pada Selasa.

Dalam kejadian pukul 5.20 petang, suspek berjaya ditahan oleh orang awam selepas mangsa yang berusia 24 tahun berjaya menyelamatkan diri dari lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, suspek yang juga seorang penganggur, sebelum itu bersembunyi dalam sebuah tandas yang pintunya tertutup.

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek mengaku bunuh, ambil barang kemas Nurul Asikin kerana terdesak wang mahu lihat aksi Harimau Malaya di Kemboja

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang lebih seminggu lepas jumpa lelaki baru dikenali, wanita ditemukan mereput dalam longkang di Sarawak

"Semasa mangsa mahu masuk ke tandas, suspek keluar daripada persembunyian dan mengunci pintu tandas berkenaan.

"Mangsa cuba dirogol sebelum menggigit tangan dan mencakar muka suspek. Mangsa kemudiannya dapat melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, polis tiba di lokasi tidak lama kemudian dengan suspek yang berusia 34 tahun sudah ditahan orang ramai.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini (Rabu) di Mahkamah Majistret Kluang.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah namun dia memiliki enam rekod jenayah dan tiga dadah,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan kejadian yang memaparkan orang ramai menahan lelaki terbabit sebelum ketibaan polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram