Tidak sekadar pengurus hartanah, Encorp teroka potensi sektor pendidikan, kesihatan dan pelancongan


  • Bizz
  • Khamis, 19 Dis 2024

Mohd Yusmadi (gambar kiri) mahu Encorp yang juga syarikat tersenarai awam berkaitan kerajaan menjadi ejen pelaksana dasar kerajaan.

ENCORP Berhad (Bhd) merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan, dengan fokus utama pada pembangunan hartanah, pengurusan aset, dan peruncitan.

Ditubuhkan pada 2000, Encorp dimiliki oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang merupakan anak syarikat FELDA telah berkembang pesat dan menjadi salah satu pemain utama dalam industri hartanah di Malaysia.

Syarikat ini mempunyai portfolio yang meliputi pembangunan kediaman, komersial, dan projek bercampur serta terlibat dalam pengurusan pusat beli-belah dan kemudahan perniagaan.

BACA LAGI: 'Tauke tak malu lap meja makan', bekas kontraktor terokai sektor F&B lepas hampir 3 dekad dalam dunia pembinaan

BACA LAGI: [VIDEO] Dianggap tak layak urus bisnes, Kim Kardashian tukar kritikan jadi motivasi bina empayar nilai ratusan jutaan ringgit

Antara projek terkenal dijalankan termasuk Encorp Strand Mall, sebuah pusat beli-belah dan pejabat moden yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, ia juga terlibat dalam pembinaan kondominium, rumah kediaman, dan pembangunan kawasan komersial di seluruh negara seperti menerusi Encorp Cahaya Alam, Shah Alam dan Encorp Marina Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

Jejak perniagaannya turut meliputi satu hartanah di luar negara iaitu The Residences on McCallum Lane yang terletak di Perth, Australia.

Pada 29 September 2023, Encorp turut menerima kepimpinan baharu menerusi pelantikan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.

Berikut merupakan temu bual Majoriti bersama Mohd Yusmadi selepas hampir setahun memegang jawatan tersebut.

Antara dibincangkan termasuk mengenai perubahan cuba dilaksanakan di samping sasaran ditetapkan di bawah kepimpinannya bersama syarikat tersebut.

1. Bolehkah kongsikan mengenai perubahan telah dilaksanakan sejak Tuan menjadi memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Encorp?

Semenjak setahun saya memimpin Encorp sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, saya telah betulkan terutamanya aspek tadbir urus, tata kelola Encorp.

Ini kerana enam bulan pertama saya di Encorp, saya lihat Encorp perlu dibetulkan daripada segi tadbir urus. Jadi aspek itu daripada pengurusan tertinggi sehinggalah ke bawah.

449329340_1130871381502204_7229865657308835508_n

Mohd Yusmadi (tiga dari kiri) mula bersama Encorp sejak September tahun lalu. — Yusmadi Yusoff

Pada pandangan saya yang berlatar belakang undang-undang, organisasi apa pun, waima syarikat, NGO mahupun badan politik, kalau aspek tadbir urus dan tata kelola tak dibetulkan, saya rasa perkara tersebut akan menghantui syarikat itu.

Contohnya, kalau kita buat perubahan supaya syarikat dapat keuntungan yang lebih, tetapi jika berlaku kebocoran, tak guna juga. Ataupun kita betulkan aspek lain seperti aspek teknikal dan sebagainya, tetapi satu saja perkara tata kelola boleh menyebabkan nama baik syarikat itu rosak.

Jadi bagi saya, tata kelola ni kenapa saya tekankan kerana ia bukan sahaja akan membantu membetulkan tadbir urus, tetapi dia juga mampu memberi peningkatan kepada nama baik dan akhir sekali, matlamat akhirnya untuk membangkitkan keyakinan.

Keyakinan dalam konteks ini, keyakinan pemegang saham, keyakinan pemegang taruh dan lebih penting lagi keyakinan rakyat sebab Encorp berbanding yang syarikat tersenarai awam biasa lain.

Ia ialah syarikat tersenarai awam berkaitan kerajaan. Jadi bagi saya, kalau kita ambil syarikat-syarikat lain, mungkin mereka tak pandang berat mengenai dasar-dasar kerajaan.

Tapi bagi saya, Encorp juga sebagai syarikat berkaitan kerajaan perlu juga menjadi ejen pelaksana dasar kerajaan yang mana bagi saya juga mampu menguntungkan pemegang saham yang menjadi tanggungjawab mana-mana syarikat tersenarai.

2. Jadi dalam tempoh sudah lebih setahun ini, apakah pencapaian yang berjaya dilakukan?

Antara perkara yang kami berjaya capai contohnya dari segi aspek projek apabila kita dapat kepercayaan dengan FELDA untuk terlibat dalam satu projek di Ipoh yang mana kita telah melalui fasa pertama iaitu kelulusan di peringkat FELDA.

Sekarang ini kita tengah menunggu kelulusan terakhir di peringkat Jabatan Perdana Menteri. Jadi setakat ini, apa yang saya berjaya adalah merapatkan hubungannya dalam keluarga FELDA itu sendiri.

Bagi saya, secara umumnya arah tuju yang strategik untuk Encorp adalah ke arah merapatkan kolaborasi dengan kumpulan FELDA itu sendiri sebagai syarikat induk yang turut memiliki FGV Holdings Berhad dan FIC.

Encorp dimiliki kira-kira 62 peratus saham FIC. Jadi bagi saya, Encorp perlu menjadi pembina yang terbaik untuk FELDA.

Contohnya FELDA ada keperluan untuk membina rumah pekerja FELDA. Itu sahaja pun (kos) beratus juta. FELDA juga ada keperluan untuk menguruskan hal-ehwal penyelenggaraan dan sebagainya.

FELDA juga ada keperluan untuk projek penanaman semula dan sebagainya. Jadi bagi saya, Encorp perlu berada bersama-sama FELDA untuk merealisasikan visi FELDA terutama sekali melibatkan hal ehwal awal pembinaan.

3. Adakah terdapat hala tuju baharu yang sedang dirangka atau disasarkan daripada segi aspek penglibatan dalam perniagaan?

Encorp seperti mana sejarahnya, ia memang ditubuhkan sebagai syarikat pelaburan hartanah yang mana pada masa sama, kami juga mewarisi contohnya pasaraya, pusat beli-belah antaranya seperti Strand Mall.

Jadi dalam erti kata lain kami turut terlibat dalam perniagaan peruncitan.

Jadi dalam konteks ni, agak kurang tepat kalau nak kata Encorp hanya berfungsi untuk pengurusan hartanah. Ia juga terlibat dalam sektor pembinaan dan juga peruncitan.

Jadi dalam konteks ini, semenjak kemasukan saya, Strand Mall sendiri yang kita tahu akibat daripada Covid-19 telah melalui satu cabaran.

Tapi saya ingat sekarang banyak pelaburan baharu telah masuk, contohnya saya difahamkan bulan Februari (2025) akan siap kedai runcit pertama daripada Rusia.

Selepas itu, pusat bowling yang memiliki lebih 20 lorong akan siap dan dibuka di tingkat atas pada Februari, Insya-ALLAH.

Kemudian di tingkat bawah juga, kita ada kerjasama yang unik dengan Kedutaan Indonesia menerusi pembukaan rangkaian kedai runcitnya, Indomart dan kita juga ada kerjasama mengenai fesyen Nusantara.

469073497_1186126839529539_3309481204321771456_n

Antara aktiviti diadakan di Strand Mall. — Strand Mall

Jadi ke depan, saya melihat potensi Encorp bukan sahaja terhad kepada pembangunan hartanah dan juga peruncitan, tetapi saya melihat Encorp juga boleh menerokai pertama sekali antaranya adalah sektor hospitaliti.

Sekarang ini Encorp selain membina rumah-rumah, kita membina kondominium dan memiliki servis apartment yang mana kita jalankan perniagaan Airbnb.

Contohnya di Strand Mall itu, yang di bahagian bawah kita juga ada salah satu perniagaan klinik rawatan kesuburan in-vitro (IVF) yang agak terbaik.

Jadi bila kita gabunngkan hospitaliti apartment kita dengan IVF, yang mana sekarang ini Airbnb kita sangat laris kerana keperluan terhadap perkhidmatan pelancongan kesihatan.

Orang yang datang buat rawatan di situ dan mereka kebanyakan orang antarabangsa antaranya dari Indonesia, China dan sebagainya. Jadi, saya nampak potensi di situ.

Kedua, saya juga nampak potensi pendidikan kerana saya melihat hartanah di bawah Encorp memang dihuni antaranya Al-Hamra Integrated School, lepas itu ada Malaysia University of Science and Technology (MUST).

Pada masa sama saya juga menerima tawaran untuk kolaborasi supaya di dalam pusat beli-belah tersebut, kita bukan sahaja melihat ia sebagai ruang untuk peruncitan, sebaliknya juga ruang pendidikan.

Saya lihat peluang itu ada dan dia akan membuat pusat beli-belah itu sendiri jadi 'enlightened mall' (pusat beli-belah yang tercerahkan) yang bermanfaat bukan sahaja bagi tujuan F&B dan gaya hidup, juga pendidikan.

Saya percaya perkara ini kerana ke depan saya melihat di tempat lain di Singapura dan sebagainya, pusat beli-belah telah menjadi tempat pendidikan.

Contonh ini kita boleh lihat di lokasi beli-belah terkenal di Orchard Road di Singapura yang mana pusat beli-belah itu ada perpustakaan awam.

Saya rasa perkara ini bukan sahaja bagus untuk Encorp, tetapi untuk penduduk sekitar sebab saya lihat di kawasan berdekatan Strand Mall itu sendiri kita ada demografi golongan B40 di sekitar kawasan Kota Damansara.

Jadi saya lihat pusat beli-belah itu sendiri sesuai untuk dalam bahasa saya sebuah tempat yang multivarsity. Apa maksud multivarsity? Kalau universiti tujuannya hanya satu iaitu untuk pendidikan atau intelektual.

Tetapi kalau multivarsity, ia boleh menjadi tempat keusahawanan, kebudayaan dan boleh juga kita bagi ruang yang menyumbang kepada pertumbuhan atau 'developmental'.

Jadi saya nampak potensi Strand Mall di situ. Kemudian, sebenarnya saya juga nampak Encorp dengan kerjasama yang sedang dirancang mampu juga menerokai apa yang kita panggil pembangunan hijau.

Kenapa saya kata begitu? Sebab sekiranya kolaborasi dengan FELDA ini berjaya, ia akan memberi ruang kepada Encorp untuk membantu FELDA memberikan nilai tambah terhadap tanah-tanah mereka yang ada dari Perlis sampai ke Sabah.

Contohnya, sekarang ini kita berjaya menyiapkan untuk pertama kali satu projek terbengkalai di Chuping, Perlis iaitu rumah generasi FELDA dengan segala cabaran dihadapi.

Di situ saya lihat bukan saja kawasan FELDA semata-mata, ada Universiti Malaysia Perlis. Selepas itu baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan Pembangunan Bandar Teknologi Maju di kawasan tersebut.

Jadi, saya melihat Encorp perlu boleh menjadikan tempat itu sebagai bandar hijau.

Terakhir, potensi yang saya boleh nampak untuk Encorp ke depan adalah sekiranya kita mampu bekerjasama dengan FELDA terutamanya untuk menjuarai sektor pelancongan.

Sebab saya melihat FELDA memiliki hartanah misalnya hot spring di Sungkai, Perak yang mana saya rasa kerjasama Encorp dan juga FELDA mungkin boleh membuat tempat tersebut bertambah menarik dan mengubahnya menjadi tempat setaraf seperti tarikan pelancongan di Tambun dan sebagainya.

Saya rasa setakat ini perbincangan itu telah berlaku dan saya melihat pendekatan ini tidaklah jauh daripada visi asal Encorp kerana sektor yang saya cakap tadi seperti pendidikan, kesihatan dan pelancongan adalah dekat hartanah.

Pada masa sama, satu lagi perkara menarik yang saya rasa perlu diperhatikan oleh Encorp adalah mengenai kewujudan zon baharu diumumkan kerajaan di Johor iaitu Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ini kerana Encorp ada hartanah iaitu Encorp Marina di dalam lokasi tersebut yang mana setakat ini kita masih lagi ada beberapa lot peruncitan dan servis apartment di situ.

Saya rasa kita perlu lebih proaktif memasukkan cadangan yang sesuai dengan zon tersebut kerana saya difahamkan antara satu gagasan kerajaan adalah menggalakkan aktiviti kewangan antarabangsa terutama kewangan Islam dan juga saya rasa wujud potensi sektor pendidikan kerana di situ premis Encorp mungkin boleh disesuaikan dengan keperluan terutamanya pendidikan antarabangsa.

4. Bagi usaha untuk meneroka ke arah potensi pelancongan, adakah sudah wujud perbincangan bersama FELDA misalnya mengenai tempat-tempat yang ingin dibangunkan?

EMPH

Encorp Marina di Iskandar Puteri, Johor. — Encorp

Perkara ini masih lagi terlalu awal tetapi dalam perbincangan contohnya dengan FIC yang memiliki hampir keseluruhan hotel di FELDA.

Mereka ada hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan dan di London. Mereka juga ada kemudahan hostel untuk pelajar di Wembley dan sebagainya.

Jadi saya rasa Encorp dengan kerjasama yang betul mampu membantu FIC mencantikkan dan yang penting itu menyelenggara fasiliti dan pengurusan. Di situ sendiri maknanya kita bukan bermula daripada kosong.

Maksudnya kita cari jalan untuk kolaborasi mencari sinergi baharu kerana Encorp juga da pengalaman dengan mengambil kira hartanah kita yang berada di luar negara seperti di Perth, Australia.

5. Bagaimanakah Tuan melihat kedudukan Encorp untuk lima tahun ke depan?

Seperti yang saya katakan tadi, Encorp di bawah saya perlu menjadi 'Enlightened Corporation, Makes Enlightened Nation'.

Maksudnya Encorp sebagai syarikat tersenarai berkaitan kerajaan perlu menjadi syarikat yang mensejahterakan bukan sahaja pemegang saham, tetapi juga pekerja juga rasa selesa menjadikan Encorp ini sebagai wadah untuk mereka cari rezeki bagi keluarga.

Saya difahamkan oleh pihak pengurusan kita mungkin setakat ini antara syarikat yang tidak buang pekerja dan sebagainya walaupun menghadapi Covid-19 dan sebagainya.

Pada masa sama, impak yang dibawa oleh Encorp tidak hanya setakat itu sahaja. Kita juga mahu syarikat turut mensejahterakan negara seperti mana yang telah berjaya dilakukan FELDA daripada segi meningkatkan kualiti hidup, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Jadi bagi saya mudah sahaja, keutamaan kita adalah terhadap apa yang diperlukan rakyat. Kalau Encorp berjaya menyediakan apa yang diperlukan oleh rakyat dalam konteks dari segi perumahan pasaraya dan sebagainya, saya rasa kita akan kekal relevan dan malah akan membuat keuntungan yang sepatutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram