
DI sebuah sudut tenang di Sungai Buaya, Selangor, sebuah hasil seni unik berjaya menghidupkan semula nostalgia kampung halaman.
Kediaman mentua menjadi ilham kepada Nazali Hussain untuk menghasilkan replika rumah tradisional itu dalam saiz kecil.
Pun begitu, yang menarik perhatian adalah pembinaan replika rumah kampung tersebut bukanlah berasaskan batang mancis atau kayu, sebaliknya pesara tentera berusia 63 tahun itu menggunakan kreativiti menggunakan tikar buluh.
BACA LAGI: ‘Hamburg jadi Hamburger’, petugas DBP kongsi asam garam ajar bahasa Melayu pada warga asing
Replika rumah kayu mentua Nazali yang mencetuskan idea hobinya.
Menurut Nazali, idea tersebut tercetus secara spontan ketika terkenangkan rumah kampung terbabit selepas menamatkan perkhidmatan selama dua dekad dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2002.
"Sekarang ini, rumah kampung itu pun sudah dibina dengan batu sepenuhnya, tetapi memori di kediaman tempat isteri, Natrah Jemain dibesarkan sentiasa tersemat indah.
"Setiap sudut dan reka bentuk rumah kampung yang bertangga masih segar dalam ingatan. Secara kebetulan di kawasan rumah lama saya di Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur terdapat tikar buluh yang dibuang.
"Jadi, saya tukarkan bahan buangan menghasilkan rumah kampung terbabit dan ia ambil masa selama seminggu untuk disiapkan," katanya yang mewarisi ilmu kesenian daripada arwah datuknya iaitu seorang tukang kayu.
Nazali meraut tikar buluh untuk dijadikan sebagai kraf tangan unik.
Bapa kepada lima cahaya mata tersebut berkata, selain tikar buluh, bahan lain digunakan untuk menghasilkan kraf tangan unik itu ialah gam, syelek, rumput karpet tiruan dan lidi sate.
Katanya, sudut paling sukar adalah untuk melengkapkan pintu dan tingkap kerana saiznya yang kecil.
"Prosesnya sedikit rumit. Saya selesa ‘bertukang’ selepas isyak hingga lewat malam. Kadangkala terlajak hingga pukul 3 pagi. Biasanya, dalam tempoh dua ke tiga hari siap sepenuhnya.
"Cuma kalau bagi gambar atau reka bentuk rumah jenis A, minta saya buat semula jadi macam A memang tak jadi.
"Ini disebabkan kraf saya hasilkan adalah apa yang terlintas dalam kepala pada waktu itu sahaja," jelasnya.
Tikar buluh yang dibuang dijadikan sebagai bahan utama dalam menghasilkan replika rumah tradisional.
Datuk kepada lapan cucu itu juga memberitahu bahawa keunikan rumah tradisi tersebut turut mendapat perhatian kelab golf di Lembah Klang dan fakulti Universiti Malaya yang menginginkan Nazali menghasilkan replika rumah sebagai hiasan.
"Saya buat sekadar suka-suka, tetapi apabila anak-anak muat naik di media sosial ada pihak berminat.
"Ada yang nak jadikan hantaran kahwin, selain hadiah dan barang hiasan," kongsinya.
Lelaki berasal dari Jeniang, Kedah itu turut menjelaskan bahawa bukan setiap masa dia dapat mengisi masa lapang dengan membuat replika rumah, sebaliknya bergantung pada tikar buluh yang ditemui.
"Kalau saya jumpa tikar buluh yang dibuang, saya akan mula menghasilkan kraf kerana ia adalah bahan utama digunakan.
"Kalau tiada, saya akan berehat seketika. Pernah mencuba guna bahan lain seperti rotan, tetapi hasilnya tidak sempurna," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram