Pakaian buluh, tali pinggang keledar antara usaha peralihan kepada fesyen kitaran di Malaysia


  • Bizz
  • Khamis, 19 Dis 2024

Industri fesyen merupakan pengguna air kedua terbesar dan menyumbang 2 hingga 8 peratus daripada pelepasan karbon global.

INDUSTRI fesyen merupakan salah satu sektor memerlukan penggunaan sumber yang intensif, sekali gus memberikan kesan ketara kepada kemerosotan alam sekitar melalui pelepasan gas rumah hijau, penjanaan air sisa dan sisa pepejal.

Menurut Program Alam Sekitar PBB (UNEP), sektor berkenaan adalah pengguna air kedua terbesar dan menyumbang dua peratus hingga lapan peratus daripada pelepasan karbon global.

Di Malaysia, isu ini semakin meruncing dengan peningkatan fesyen segera, yang membawa kepada kenaikan sisa tekstil dan amalan pengeluaran yang tidak mapan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Dengan peningkatan kesedaran tentang implikasinya terhadap alam sekitar dan sosial, model ekonomi kitaran telah mendapat momentum sebagai penyelesaian yang antara lain bertujuan menghapuskan sisa, memanjangkan kitaran hayat produk dan menggalakkan kemapanan lebih besar.

Malaysia menghadapi cabaran signifikan berkaitan isu pembaziran fesyen.

Pada 2021, sisa fabrik menyumbang 31 peratus (atau 432,901 tan metrik) daripada jumlah sisa negara, menurut SWCorp dan KlothCares.

Pengeluaran tekstil memberi tekanan besar kepada sumber semula jadi, dengan pengeluaran kapas memerlukan sejumlah besar air dan proses pencelupan menggunakan bahan kimia toksik.

Selain itu, infrastruktur pengurusan sisa Malaysia tidak dilengkapi sepenuhnya untuk mengendalikan jumlah sisa tekstil semakin meningkat, menyebabkan kebanyakannya dihantar ke tapak pelupusan sampah yang menyumbang kepada pencemaran berterusan.

Membuka potensi pengeluaran mapan

temp (3)

Pada 2021, sisa fabrik menyumbang 31 peratus (atau 432,901 tan metrik) daripada jumlah sisa negara, menurut SWCorp dan KlothCares.

Peralihan ke arah ekonomi kitaran dalam industri fesyen Malaysia membuka beberapa peluang yang menjanjikan pulangan berbaloi.

Salah satunya adalah permintaan semakin meningkat untuk pakaian mesra alam yang dihasilkan secara beretika.

Pereka bentuk dan pengilang tempatan boleh memanfaatkan trend ini dengan mengamalkan amalan mapan, seperti menggunakan bahan organik dan melaksanakan teknik pencelupan meminimumkan penggunaan air dan kimia.

Selain itu, terdapat minat semakin meningkat dalam kitar semula tekstil, dengan syarikat pemula di Malaysia membangunkan penyelesaian inovatif untuk menyusun dan menggunakan semula pakaian terpakai, sekali gus membantu mengurangkan sisa serta mencipta sumber baharu daripada tekstil terbuang.

Satu lagi ruang menjanjikan adalah pengembangan pasaran pakaian terpakai.

Ini dapat dilihat dengan populariti kedai berjimat cermat dan platform dalam talian untuk pertukaran pakaian semakin yang menyediakan alternatif mapan kepada fesyen segera dengan memanjangkan jangka hayat pakaian dan mengurangkan permintaan untuk produk baharu.

Tambahan pula, mengutamakan pengeluaran tempatan menawarkan faedah alam sekitar yang ketara dengan meminimumkan jejak karbon yang dikaitkan dengan pengangkutan dan mempromosikan produk Buatan Malaysia.

Ini bukan sahaja menyokong perniagaan tempatan tetapi juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, menjadikannya strategi utama untuk mewujudkan industri fesyen yang lebih mapan.

Menangani halangan

Peralihan kepada ekonomi kitaran dalam industri fesyen Malaysia menghadapi beberapa cabaran perlu ditangani.

Salah satu halangan utama adalah budaya fesyen segera yang lazim, yang mengutamakan pakaian pakai buang pada harga rendah.

Pemikiran sedemikian merupakan penghalang utama kepada kemapanan, dan usaha mengubahnya memerlukan pendidikan meluas tentang nilai ketahanan dan penggunaan yang mementingkan alam sekitar.

Menggalakkan pengguna memilih kualiti berbanding kuantiti adalah penting untuk mengalihkan pasaran ke arah amalan lebih lestari.

Dalam pada itu, keadaan infrastruktur pengurusan sisa tekstil Malaysia yang masih belum membangun sepenuhnya menyebabkan sistem kitar semula yang cekap sukar dilaksanakan.

Tambahan pula, langkah mewujudkan penyelesaian kitar semula berkesan memerlukan pelaburan yang besar dan dasar jelas untuk memastikan kejayaan jangka panjang.

8) Used clothes can be sold at carboot sales just by following some simple procedures.

Permintaan untuk fesyen terpakai juga semakin meningkat di Malaysia. — Gambar hiasan

Cabaran lain pula terletak pada kos bahan mapan, yang selalunya lebih mahal untuk dihasilkan.

Perbezaan harga tersebut menimbulkan kesukaran bagi perniagaan kecil yang cuba bersaing dengan peruncit besar yang mengutamakan harga rendah.

Situasi itu menjadikannya lebih sukar untuk fesyen mapan bertapak dalam pasaran arus perdana.

Inisiatif yang memberi kesan

Walaupun berdepan cabaran, beberapa inisiatif di Malaysia berjaya memacu peralihan ke arah fesyen mapan dan amalan ekonomi kitaran.

Satu contoh ketara adalah kebangkitan jenama fesyen lestari seperti Batik Boutique dan Kualesa.

Batik Boutique menggabungkan amalan mesra alam dengan teknik batik tradisional untuk mencipta produk buatan tangan, memperkasakan artis tempatan sambil mengurangkan kesan alam sekitar.

Begitu juga, Kualesa mempromosikan pakaian berasaskan buluh yang terkenal dengan keselesaan, ketahanan dengan implikasi minimum terhadap alam sekitar.

Dalam sektor kitar semula, syarikat seperti Kanoe dan Biji-Biji Initiative sedang mengubah bahan terbuang kepada produk bernilai lebih tinggi.

Kanoe mengitar semula fabrik menjadi pakaian buatan tangan, manakala Biji-Biji Initiative menggunakan semula bahan seperti tali pinggang keledar dan tekstil untuk mencipta produk inovatif yang mengurangkan pembaziran serta menggalakkan penggunaan semula barangan.

Inisiatif kitar semula juga semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Platform e-dagang fesyen Zalora telah melancarkan program menggalakkan pelanggan menderma pakaian yang tidak diingini untuk dikitar semula.

Sementara itu, peruncit global seperti H&M dan Uniqlo menjalankan program pengumpulan pakaian antaranya Program Koleksi Pakaian H&M dan inisiatif Uniqlo Re.Uniqlo dengan kedua-duanya mengumpul pakaian terpakai untuk kitar semula atau pengagihan semula.

Permintaan untuk fesyen terpakai juga semakin meningkat, dengan platform dalam talian seperti Carousell dan Shopee semakin popular apabila pengguna mencari alternatif yang berpatutan dan mapan berbanding fesyen segera.

Kedai barangan terpakai tempatan juga berkembang maju, menawarkan lebih banyak pilihan untuk pelanggan yang ingin mengurangkan kesan alam sekitar mereka melalui pembelian secara sedar.

Perkongsian memupuk kemajuan

366677

Dengan menangani cabaran seperti pembaziran, lebihan pengeluaran dan penggunaan tidak mapan, Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara lain di Asia Tenggara.

Menggalakkan amalan kitaran dalam industri fesyen Malaysia memerlukan usaha kerjasama daripada kerajaan, perniagaan dan pengguna. Kerajaan boleh memberi impak yang besar dengan melaksanakan dasar seperti insentif cukai untuk amalan mapan, membiayai program kitar semula, dan membangunkan infrastruktur untuk pengurusan sisa tekstil.

Selain itu, dasar pemerolehan kerajaan boleh mengutamakan fesyen yang mapan bagi memberikan contoh kepada industri.

Industri perniagaan fesyen juga mempunyai peranan penting untuk dimainkan dengan mengamalkan amalan lestari sepanjang rantaian bekalan mereka, termasuk mendapatkan bahan mesra alam dan mereka bentuk produk untuk jangka hayat dan yang boleh dikitar semula.

Pada masa, menerima pakai model kitaran seperti penyewaan pakaian atau perkhidmatan pembaikan, boleh menggalakkan lagi kemapanan.

Pengguna juga boleh memacu perubahan dengan menyokong jenama yang komited terhadap kemapanan, membeli barangan terpakai dan menjaga pakaian mereka dengan lebih baik.

Mendidik pengguna tentang kesan alam sekitar daripada pilihan pembelian mereka adalah penting untuk memupuk penggunaan yang bertanggungjawab dan memajukan ekonomi pekeliling.

Peralihan kepada ekonomi fesyen kitaran di Malaysia memberikan peluang untuk mengurangkan kesan alam sekitar, memulihara sumber dan mewujudkan industri fesyen yang mapan.

Dengan menangani cabaran seperti pembaziran, lebihan pengeluaran dan penggunaan tidak mapan, Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara lain di Asia Tenggara.

Kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan pengguna akan menjadi kunci kepada peralihan ke arah kemapanan dan membina ekonomi bulat yang lebih berdaya tahan untuk masa depan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram