'Arwah sempat jadi imam', murid Tahun 6 sekolah di Serdang maut terkena renjatan elektrik


  • Massa
  • Khamis, 19 Dis 2024

Muhammad Harith dikatakan sempat mengimamkan jemaah di sekolahnya sebelum meninggal dunia pada Rabu. — Facebook

SEORANG murid lelaki Tahun 6 maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.50 petang.

Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira pukul 6.30 petang.

"Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Jaga integriti, anggap arahan senior sebagai tugas antara ilmu berharga buat 2 rekrut penguatkuasa MBPJ

BACA LAGI: Tiada SOP tahan jenazah sebab bil tertunggak, KKM perjelas dakwaan mayat tak dituntut di hospital kerajaan

470642761_3899171297068184_5008358554620530009_n

Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum disahkan meninggal dunia pada Rabu. — Facebook

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau pada masa sama berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan.

Sementara itu, beberapa warga maya yang mengenali mangsa turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarganya.

"Sayu, sebak, marah dan macam-macam perasaan pun ada apabila mendengar luahan dari ibu mangsa. Tiada ucapan atau ungkapan boleh ubati perasaan pilu seorang ibu yang masih terkejut menerima kehilangan anak.

"Arwah merupakan darjah 6 dan belum akil baligh pun lagi, baru je selesai jadi imam untuk pelajar darjah 5 sebelum kejadian.

"Arwah meninggal disebabkan renjatan elektrik di dalam sekolah yang tidak sepatutnya berlaku. Kejadian ini telah menjadi kes polis dan telah meragut nyawa seorang pelajar," tulis seorang pengguna Facebook Nadirah Shariff.

Mangsa yang bernama Muhammad Harith Mohd Fazrul difahamkan akan di disembahyangkan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan UPM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram