Tiada SOP tahan jenazah sebab bil tertunggak, KKM perjelas dakwaan mayat tak dituntut di hospital kerajaan


  • Primer
  • Isnin, 16 Dis 2024

KKM menegaskan bahawa tiada jenazah yang ditahan di hospital disebabkan tunggakan bil. — Gambar hiasan

TERDAPAT pelbagai dakwaan berhubung isu jenazah tidak dituntut selepas tularnya kes mayat bayi yang disimpan di dalam peti sejuk selama dua minggu hospital swasta di Klang, Selangor baru-baru ini.

Lebih membangkitkan kebimbangan ramai apabila ada yang mendakwa bahawa terdapat banyak mayat tidak dituntut yang disimpan di hospital kerajaan disebabkan tunggakan bil rawatan.

Berdasarkan dakwaan yang dimuat naik oleh pengguna akaun X @pgdnfnalt pada Ahad, kebanyakan jenazah terbabit adalah dari golongan bukan warganegara.

BACA LAGI: 'Sekurang-kurangnya kena ada bakat', pelajar perlu lepas 'audition' untuk belajar muzik di UiTM

BACA LAGI: Terima kekurangan diri, hidap phocomelia tak halang Boo Siong bangkit, beri motivasi kepada masyarakat

Ge0Lz4hbUAEnzaO

Ciapan yang mendakwa pihak KKM menahan jenazah bukan warganegara.

Dakwanya, ia merupakan realiti yang tidak ramai diketahui kerana melibatkan warga asing.

"Cuba periksa hospital kerajaan, berapa banyak mayat tak dituntut sebab tak bayar bil. Selalunya bukan warganegara, korang tak biasa sebab warganegara dah dapat subsidi daripada kerajaan.

"Kalau tidak, tak adalah unit jenazah kena buat sukarelawan untuk uruskan jenazah-jenazah tak dituntut," tulisnya.

Susulan itu, Setiausaha Akhbar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Nik Azmi Nik Ahmad Fathil tampil memberi penjelasan tentang dakwaan terbabit.

Nik Azmi dalam satu ciapannya memaklumkan bahawa hospital kerajaan iaitu di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah menahan mayat disebabkan terdapat tunggakan bil.

Tegasnya, mayat bagaimanapun perlu diproses mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak hospital.

"Contohnya, bukan warganegara perlu dituntut oleh waris atau kedutaan," katanya.

Nik Azmi pada masa sama memberitahu bahawa sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terhadap pengguna terlibat.

"Laporan MCMC telah dibuat. Saya mohon kerjasama semua agar isu ini tidak menimbulkan keresahan ramai.

"Hospital kerajaan dibayar oleh pembayar cukai. Menyimpan mayat melibatkan kos yang tinggi dan boleh melibatkan risiko penyakit juga. Tiada sebab untuk menangguhkan urusan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram