Rasai ribut daki Kinabalu, gangguan mistik di Nuang dan bertemu jodoh rakan hikers antara pahit manis Hamizah tawan puncak gunung


  • Hobi
  • Ahad, 22 Sep 2024

Nur Hamizah sudah berjaya menawan lebih 40 gunung di dalam dan luar negara.

MENDAKI merupakan satu hobi yang semakin mendapat tempat di hati ramai orang terutama pencinta alam.

Ketika melangkah ke dalam hutan atau menjejakkan kaki di laluan gunung, seseorang pastinya berasa satu kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Apatah lagi apabila setiap lokasi yang ditawan memiliki kisah unik di sebaliknya yang menjadi memori manis atau pahit buat seseorang.

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

BACA LAGI: Norehan 'tak kosong', kaki motor pernah kena paksa buka tudung, kongsi perlu arif jalan sebelum 'ride' di negara orang

photo_6300692194482306492_y

Hamizah (kiri) dan suaminya, Iwan Harianto (kanan) mendaki di Bukit Holbung, Medan, Indonesia.

Apabila terkenang, pengalaman itu menjadikan seseorang matang dalam mengendalikan kekuatan mental dan fizikal.

Itulah yang dirasai buat seorang pendaki, Nur Hamizah Md Shaeb yang sudah menawan lebih 40 gunung di dalam dan luar negara.

Antara gunung yang pernah diterokai adalah Gunung Kinabalu (10 kali), Gunung Kerinci (3 kali), Gunung Rinjani (2 kali), Gunung Merbabu (5 kali), Anapurna Base Camp (ABC), Mardi Himal, Gunung Ledang dan banyak lagi yang lain.

Nur Hamizah berkata, minatnya yang mendalam terhadap aktiviti mendaki timbul selepas dia sering tertanya-tanya tentang keindahan yang wujud di sebalik gunung.

"Waktu sekolah saya selalu lalu kawasan Gunung Ledang, jadinya tertanya apa di sebalik itu. Tetapi sewaktu itu belum mulai mendaki.

"Saya mulai mendaki sewaktu berada di zaman universiti ketika mengambil Ijazah Sarjana Muda Nutrisi dan Komuniti Sains di Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya kepada Majoriti.

photo_6300692194482306491_y

Hamizah (kanan) dan suaminya, Iwan Harianto (kiri) mendaki di Silipat, Thailand.

Ketika itu, dia cuba mendaki dengan pelajar 'junior' di universiti bagi meluangkan masa lapang dengan aktiviti santai.

Mengimbau kenangan itu, Hamizah berkata, sewaktu itu, dia cuba mencari rakan berlainan jantina untuk membantunya dan dua rakan lain bagi mencuba aktiviti pendakian di Bukit Tabur.

Jodoh tiada siapa yang tahu, jejaka yang membantunya untuk memulakan pendakian di bukit berkenaan rupanya 'lelaki kiriman Tuhan' buat dirinya.

"Waktu itu ramai yang approach untuk bimbing (guide). Tetapi seorang lelaki, Iwan Harianto terus sahaja Direct Message (DM).

"Jadinya saya dan kawan-kawan pun ikutnya untuk explore bukit itu. Sama-sama kaki hiking.

"Bila dah 5 tahun kenal kami pun putuskan untuk berkahwin dan sekarang sudah ada seorang anak perempuan," katanya.

photo_6300692194482306529_y

Seseorang perlulah menitikberatkan masa yang tepat sebelum mendaki di Gunung Nuang.

Selain pengalaman manis yang bermakna itu, wanita berusia 31 tahun berkenaan juga mengakui pernah merasai kejadian mistik yang menimpa dirinya sewaktu gemar mendaki ketika di zaman universiti.

"Waktu itu, saya seorang perempuan bersama dua orang lelaki. Tetapi kami tak selidik dahulu tentang gunung itu.

"Kami pergi pukul 11 pagi. Jadinya apabila sudah pukul 1 petang kami masih belum sampai ke puncak. Dan pada lebih kurang pukul 6, ada 'gangguan' waktu cuba untuk pulang.

"Saya dengar ada orang panggil nama saya dari arah belakang padahal kawan-kawan semua di hadapan," katanya.

Keadaan di hutan juga ceritanya, berubah menjadi 'lain macam' dengan angin yang bertiup sedikit kencang sehinggakan berterbangan dedaun kecil.

"Apabila tanya penjaga hutan di kawasan itu hanya kami bertiga sahaja yang mendaki masa itu," katanya.

photo_6300692194482306494_y

Hamizah mendaki di Gunung Merbabu, Indonesia.

Setelah mengalami kejadian mistik terbabit, Hamizah mengalami demam panas selama tiga hari berturut-turut.

Susulan itu, dia memberi saranan agar individu yang mahu ke gunung berkenaan tahu selok-belok sebelum memulakan pendakian.

Selain membuat 'home work' tentang gunung yang ingin didaki, Hamizah berkata, dia kebiasaannya menyesuaikan aktiviti mendaki dengan pemilihan masa yang tepat.

"Untuk Gunung Nuang misalnya, memang kena ada waktu yang betul supaya dapat keluar siang, di situ agak 'keras'," tegasnya.

photo_6300692194482306531_y

Hamizah mendaki di Gunung Kinabalu.

Tidak hanya itu, sering mendaki juga menyebabkan anak jati Johor itu sudah terbiasa dengan cuaca iklim yang berbeza-beza.

"Sudah terbiasa sejuk apatah lagi sewaktu puncak. Waktu daki Gunung Kinabalu baru-baru ini pun siap ribut lagi.

"Masa itu ada ribut terjadi di Filipina jadinya kami yang berada di Gunung Kinabalu terasa angin yang datang dari sana.

"Memang tak boleh lupa kami pegang tali pun sampai bergerak badan. Panik betul.

"Namun ia tidak menghalang minat saya kerana saya tetap suka mendaki waktu musim sejuk contohnya pada bulan Disember," katanya. . — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram