Peruntukan lebih RM1 juta bantu Johor capai status hijau kawasan 'hotspot' dadah


  • Massa
  • Selasa, 17 Dis 2024

Pihak polis melaporkan seramai 12,678 individu ditahan atas kesalahan berkaitan dadah antara Januari hingga Jun tahun ini. — Gambar hiasan

KERAJAAN Johor memperuntukkan lebih RM1 juta dalam usaha memerangi masalah dadah di negeri tersebut sepanjang 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, berdasarkan laporan 2023, terdapat 17 kawasan panas yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berkaitan dadah.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan untuk mengubah zon merah tersebut kepada zon hijau dalam tempoh setahun.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

"Bagi mencapai matlamat ini, peruntukan sebanyak RM1.13 juta telah diluluskan dalam Belanjawan Negeri 2024,” katanya.

Beliau berkata, hasil penguatkuasaan ketat pihak berkuasa dan penglibatan aktif komuniti setempat, perubahan positif telah dapat dilihat.

“Sehingga September tahun ini, 16 kawasan berjaya ditransformasikan daripada zon merah kepada zon hijau, manakala hanya Plentong kekal dalam zon kuning,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat antidadah di Bangunan Dato’ Jaafar, Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam mesyuarat berkenaan, Tian Soon turut memaklumkan bahawa pihak polis melaporkan seramai 12,678 individu ditahan atas kesalahan berkaitan dadah antara Januari hingga Jun tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,558 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; 3,066 individu ditangkap kerana memiliki dadah, manakala 8,054 individu ditahan selepas didapati positif dadah.

“Statistik turut menunjukkan bahawa 92.38 peratus daripada individu yang ditahan adalah lelaki, manakala 7.62 peratus adalah wanita. Sebanyak 93.89 peratus daripada mereka telah disiasat dan didakwa,” jelasnya.

Menurut Tian Soon, pihak polis dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan terus komited menjalankan operasi penguatkuasaan bagi memastikan Johor bebas daripada penyalahgunaan dadah.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 16.14.31

Tian Soon (kiri) ketika melawat Panti Bird Sanctuary in Kota Tinggi, Johor.

Promosi Panti Bird Sanctuary

Dalam perkembangan lain, Tian Soon memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus mempromosikan Panti Bird Sanctuary di Kota Tinggi sebagai salah satu tarikan ekopelancongan utama negeri Johor.

“Sejak Januari tahun ini, pusat perlindungan tersebut telah menerima kira-kira 5,000 pengunjung. Terletak dalam Hutan Simpan Panti, kawasan ini merupakan habitat kepada lebih 300 spesies burung, menjadikannya destinasi pilihan peminat burung,” katanya.

Bagi melawat kawasan ini, pengunjung perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal dengan bayaran RM30 bagi pelancong asing dan RM10 untuk pengunjung tempatan.

Sanctuary itu dilengkapi kemudahan seperti dewan pameran burung, laluan hutan dan menara pemerhati.

Menurut Tian Soon, kerajaan negeri turut merancang untuk menaik taraf kemudahan sedia ada sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Kami berharap usaha ini akan menjadikan Panti Bird Sanctuary sebagai tarikan utama di Johor dan menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng. — The Star/ MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram