Pengguna TikTok hina Agong dan PM Anwar minta maaf, tak sedar restoran sudah ada sijil halal


  • Massa
  • Selasa, 17 Dis 2024

Yang di-Pertuan Agong (kiri) dan Anwar (kanan) menikmati santapan tengah hari di sebuah restoran asam pedas terkenal dekat Johor Bahru, Johor.

SEORANG pengguna TikTok yang mengkritik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati santapan tengah hari di sebuah restoran asam pedas terkenal dekat Johor Bahru, Johor sudah membuat permohonan maaf.

Pengguna aplikasi tersebut mengakui kesilapannya mengenai status halal restoran itu dan memohon maaf atas kenyataan yang dibuat terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

BACA LAGI: [VIDEO] Selepas Ricky Shane, Tok Panglima Aduka bawa 'tentera' sekolahkan lelaki persenda kalimah ALLAH

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Saya mualaf, masih banyak perlu belajar’, Ricky Shane Ca mohon maaf hina Islam, dibawa ke balai selepas 6 jam dikepung bawah rumah di Sabah

"Saya baru sedar bahawa restoran tersebut mempunyai sijil halal dan sepatutnya membuat kajian lebih lanjut mengenai isu ini.

"Saya akan lebih berhati-hati pada masa hadapan agar tidak memfitnah sesiapa.

"Saya terima semua komen yang 'keras' dan akan berehat daripada media sosial selepas ini," katanya menerusi satu video yang dimuat naik pada Isnin.

Dalam video terdahulu, yang kini telah dipadamkan, pengguna tersebut menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk menghina sesiapa tetapi hanya ingin mengingatkan umat Islam agar tidak makan di restoran yang tidak halal.

"Jika sesuatu restoran tidak mempunyai sijil halal, siapa pun anda, jangan makan di situ," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang menyiasat sejumlah kandungan di media sosial yang mempunyai unsur menghina Yang di-Pertuan Agong, termasuk individu yang sudah pun meminta maaf, baru-baru ini.

"Saya ambil maklum yang individu tersebut secara khusus sudah memohon maaf dan saya harap ia menjadi pengajaran kepada dia untuk tidak menohmah serta memfitnah tanpa asas kerana Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ialah dua institusi penting dalam negara.

"Jika pihak berkuasa ingin mengambil tindakan, saya serahkan kepada mereka tapi kita akan terus pantau. Jika ada aduan daripada orang ramai, MCMC akan bertindak," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram