SEORANG lelaki tempatan berusia 43 tahun ditahan berhubung kejadian memancitkan tayar kenderaan orang awam berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 21 tahun mengenai kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 10 malam.
“Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah menahan lelaki tersebut pada 9.45 malam pada Isnin.
“Semakan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing disahkan negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kumarasan menjelaskan, suspek kini direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kejadian jenayah dengan kadar segera ke balai polis berhampiran, atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau 07-5114486.
Sebelum ini, tular satu rakaman video menunjukkan gelagat seorang lelaki berjalan berhampiran beberapa kenderaan sebelum bertindakan memancitkan salah satu tayarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram