“SEMUA pelanggan kami adalah duta,” ujar Chryseis Tan.
Usahawan wanita itu berkongsi bagaimana Lumi Beauty, jenama penjagaan kulitnya yang dilancarkan pada 2020, menjadi medium membantu orang ramai memperbaiki kulit mereka, seterusnya meningkatkan keyakinan diri.
Menurut Chryseis, 36, produk mampu milik tersebut dihasilkan menggunakan bahan berkualiti tinggi yang diinspirasikan oleh pengalaman peribadinya ketika mengembara.
Lumi Beauty, jenama penjagaan kulit milik Chryseis dilancarkan pada 2020. — Instagram/chrystan_x
“Saya cenderung kepada perkara yang saya benar-benar minati seperti makanan, melancong dan kecantikan,” katanya.
Bagi wanita cantik itu, risiko adalah lumrah dalam dunia perniagaan dan keputusan sering dibuat berdasarkan intuisi.
Anak kepada pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan itu turut berkongsi, pendedahan terhadap bidang keusahawanan dengan bimbingan bapa telah mengasah kemahiran perniagaannya sejak kecil.
Walaupun sering dilabel sebagai serial investor (individu yang kerap terlibat dalam aktiviti pelaburan) kerana portfolio perniagaannya yang pelbagai, Chryseis lebih suka dikenali sebagai usahawan.
“Saya suka fasa konseptualisasi sesuatu peluang perniagaan dan fokus pada strategi. Dalam setiap perniagaan, saya selalu bertanya bagaimana ia akan memberi impak dan menambah nilai kepada pelanggan,” jelasnya.
Antara pencapaian Chryseis termasuk penubuhan The Curate Group, kumpulan yang memfokuskan pada konsep kulinari Jepun seperti Bar Shake, Hide, Park Grill dan Sushi Den.
Chryseis (kanan) dibimbing oleh bapanya (tengah) tentang dunia perniagaan. — Instagram/chrystan_x
Sambutan hangat terhadap masakan Jepun katanya, mendorong kumpulan itu untuk terus memperkenalkan konsep makan unik di Malaysia.
“Saya percaya masakan Jepun penuh dengan variasi, dengan teknik memasak serta bahan unik dari pelbagai wilayah di negara tersebut yang sesuai untuk diperkenalkan kepada masyarakat tempatan,” tambahnya.
Selain berjaya dalam industri makanan dan minuman, wanita ini turut memegang beberapa jawatan utama di Berjaya Group, termasuk sebagai Pengarah Eksekutif Berjaya Land Bhd dan Pengerusi Natural Avenue Sdn Bhd.
Beliau juga mengetuai pemasaran untuk Four Seasons Hotel Kyoto, Jepun.
Dalam kesibukan kerjayanya, Chryseis tidak lupa untuk mengimbangi peranannya sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Arianna Kyla Faliq dan SM Arman Naza SM Faliq.
Bagi wanita ini, meluangkan masa bersama keluarga sangat penting untuk membantu menghilangkan tekanan. — Instagram/chrystan_x
“Meluangkan masa bersama keluarga sangat penting. Humor dan gelagat mereka membantu menghilangkan tekanan.
"Selain itu, membina pasukan kerja yang dipercayai boleh memberi ruang kepada saya untuk berehat apabila diperlukan,” katanya.
Chryseis juga mengakui bahawa menjadi ibu telah mengubah perspektif hidupnya. Kini, dia lebih menghargai keseimbangan kerja dan kehidupan, sambil menikmati momen kecil bersama keluarga.
"Dengan melihat dunia melalui lensa seorang kanak-kanak, kami belajar menghargai perkara-perkara kecil yang mungkin diabaikan sebelum ini," jelas wanita itu.
Chryseis membuktikan bahawa gabungan intuisi, strategi dan keseimbangan antara kerja serta kehidupan mampu membawa kejayaan, sambil memberi impak positif kepada komuniti perniagaannya. — The Star/RUBIN KHOO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram