Naik 20 peratus, Tabung Haji tetapkan bayaran RM15,000 untuk jemaah B40, golongan M40 dicaj RM23,500 seorang


  • Primer
  • Isnin, 16 Dis 2024

Jumlah yuran haji bagi musim 2025 meningkat sebanyak 20 peratus susulan peningkatan kos penginapan, perkhidmatan dan penerbangan. — Gambar hiasan/The Star

YURAN Haji bagi musim 2025 untuk jemaah B40 Muassasah adalah sebanyak RM15,000 seorang, manakala bantuan kewangan Haji pula RM18,300.

Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa yuran tersebut bagi bagi jemaah M40 Muassasah adalah RM23,500 seorang dengan bantuan kewangan sebanyak RM9,800.

Jumlah tersebut sekali gus mencatatkan kenaikan sebanyak 20 peratus susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang lebih seminggu lepas jumpa lelaki baru dikenali, wanita ditemukan mereput dalam longkang di Sarawak

BACA LAGI: 'Sekurang-kurangnya kena ada bakat', pelajar perlu lepas 'audition' untuk belajar muzik di UiTM

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH akan mula mengeluarkan surat tawaran secara berperingkat kepada 31,600 bakal jemaah haji terpilih mulai Isnin.

Katanya, jemaah haji Muassasah daripada kumpulan B40 akan menerima bantuan sebanyak RM17,300 daripada TH berserta tambahan RM1,000 yang ditanggung oleh kerajaan.

"Jumlah bantuan sebanyak RM18,300 itu meliputi lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji sekali gus menjadikan jumlah yang perlu dibayar untuk jemaah haji B40 kepada RM15,000 setiap seorang.

"Bakal jemaah daripada kumpulan M40 pula akan menerima bantuan kewangan RM9,800, atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran mereka RM23,500 seorang," katanya pada Isnin.

Tambahnya, jemaah haji Muassasah daripada kumpulan T20 yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu menanggung kos penuh haji RM33,300 seorang.

Syed Hamadah menjelaskan bahawa bantuan kewangan haji yang disasarkan itu sejajar dengan dasar TH mengurangkan subsidi yang dibiayai secara beransur-ansur melalui keuntungan pelaburan sejak 2022 bagi memastikan kemampanan kewangan.

"Mengurangkan bantuan kewangan haji juga merupakan langkah adil untuk mengekalkan kemampanan kewangan TH di samping meminimumkan kesan ke atas pulangan pelaburan bagi pendeposit.

"Memastikan kadar pulangan yang mampan dan kompetitif kekal sebagai salah satu tanggungjawab utama TH," katanya.

Beliau pada masa sama berkata, TH berjaya membendung kenaikan kos bagi musim haji 1446H/2025M dan dikekalkan pada RM33,300 bagi setiap jemaah Muassasah.

Menurutnya, bagi menguruskan kos, TH telah menandatangani kontrak jangka panjang dengan syarikat penerbangan meskipun kos bahan api kini semakin meningkat.

"Kos penginapan di Tanah Suci juga melonjak berikutan pembangunan pesat di Makkah dan Madinah.

"Bagaimanapun, TH mengikat perjanjian bertahun-tahun dengan pengusaha hotel bagi memastikan kadar stabil dan terkawal," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram