HUKUMAN sebat terhadap seorang pesalah khalwat akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu pada 27 Disember depan.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelaksanaan hukuman sebatan yang sepatutnya dilaksanakan 6 Disember lalu ditangguhkan selepas permohonan semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu.
Menurutnya, rentetan penggantungan hukuman sebatan luar penjara terhadap pesalah khalwat itu, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah bersidang pada 11 Disember lalu.
BACA LAGI: Laksana hukuman sebat cara syariah di khalayak umum, cadangan Terengganu dapat 'restu' ramai
BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu
"Hasil persidangan tersebut, mahkamah memutuskan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda sebagaimana keputusan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu, dikekalkan.
"Hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat berulang kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu sebagaimana keputusan terdahulu.
"Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.
"Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hukuman sebat terhadap pesalah khalwat merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu lain. — Gambar hiasan
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, hukuman sebatan tersebut akan dilaksanakan pada 27 Disember depan selepas solat Jumaat.
Jelas beliau, maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
"Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.
"Pelaksanaan hukuman sebatan takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
"Kerajaan negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah ini berjalan dengan lancar," ujarnya.
Pada 20 November lalu, seorang tukang rumah yang juga duda anak lima dilapor menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam hukuman sebatan di khalayak di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Mohd Affendi turut menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram