SAKSI pendakwaan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Sabah, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka melihat mangsa dipukul di bilik asrama kolej pada malam 21 Mac lalu.
Menurut laporan BH Online, kedua-dua saksi yang juga pelajar di kolej berkenaan memberitahu mahkamah, mereka tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana bimbang turut dipukul.
Saksi pendakwaan ketujuh pada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri berkata, pelajar itu dipukul lima tertuduh iaitu tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima dan keenam di bilik asrama 7 Resak.
BACA LAGI: 13 remaja didakwa bunuh pelajar Kolej Vokasional di Lahad Datu
BACA LAGI: Kes pelajar mati dipukul Lahad Datu: KPM tidak kompromi, minta hormati privasi keluarga mangsa
"Tertuduh pertama menumbuk perut Ijat (Mohamad Nazmie), ketika itu Ijat cuba membongkok bagi melindungi badannya daripada dipukul dan reaksi mangsa (Mohamad Nazmie) seperti menahan sakit," katanya dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Dalam pada itu, saksi terbabit berkata, dia melihat tertuduh ketiga memukul bahagian kepala, tertuduh kelima dan keenam memukul bahagian badan, manakala tertuduh keempat memukul mangsa menggunakan kabel pengecas telefon.
Ditanya lebih lanjut mengenai perbuatan memukul menggunakan kabel pengecas telefon itu, saksi memberitahu tertuduh keempat menggunakan kabel itu bagi melibas bahagian belakang mangsa.
Dalam keterangan sama, saksi itu berkata pada malam terbabit, dia dan Mohammad Nazmie terlebih dahulu makan di dewan makan kolej berkenaan dan menunaikan solat Terawih, sebelum mereka berdua pulang ke bilik asrama.
Muhd Nazmie ditemui mati di bilik asramanya di sebuah sekolah vokasional dekat Lahad Datu, Sabah selepas dipercayai dibelasah rakannya.
"Kami menuju ke bilik asrama Ijat, tetapi saya selepas itu ke bilik asrama seorang rakan di 6 Belian dan selepas 10 minit kembali ke bilik asrama 7 Resak.
"Ketika masuk ke bilik asrama itu saya lihat Ijat dikerumuni kelima-lima tertuduh.
"Mereka tanya berkenaan wang milik tertuduh ketiga dan keempat, saya mendengar ljat mengaku mengambilnya.
"Waktu itu juga ljat bayar RM50 dan RM20, tetapi ketika membayar, tiba-tiba tertuduh pertama menumbuk perut ljat," katanya.
Seramai 13 pelajar kolej itu berusia 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam, 21 Mac lalu hingga jam 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.
Sementara itu, saksi pendakwaan kelapan memberitahu mahkamah dia melihat tertuduh pertama memukul muka Mohamad Nazmie, manakala tertuduh kelima menolak pelajar itu ke lokar bilik asrama 7 Resak.
Katanya, terdapat tiga lagi individu bersama tertuduh pertama dan kelima dalam kejadian itu, namun identitinya tidak dapat dipastikan.
Selain Batrisyia, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Ng Juhn Tao.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye; manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang, dan Kusni Ambotuwo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram