PERINTAH pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara terhadap seorang duda anak lima yang ditangkap melakukan kesalahan khalwat berulang, digantung sementara bagi menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Jika hukuman sebat itu berjalan seperti yang dijadualkan, tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, bakal menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemeriksaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, satu permohonan semakan sudah difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada Selasa.
BACA LAGI: Laksana hukuman sebat cara syariah di khalayak umum, cadangan Terengganu dapat 'restu' ramai
BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu
Hukuman sebat terhadap pesalah khalwat merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu lain. — Gambar hiasan
Beliau memaklumkan bahawa permohonan semakan adalah merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman.
"Justeru itu, orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah," katanya dalam satu kenyataan kepada Majoriti pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, hukuman sebatan itu adalah merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu lain.
"Saya ingin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Mahkamah Syariah," katanya.
Pada 20 November lalu, seorang duda anak lima yang tidak serik berkhalwat buat kali ketiga dijatuhi hukuman sebat di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.
Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail memerintahkan Mohd Affendi dikenakan enam kali sebatan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau berkata, perintah sebatan tersebut akan diadakan di khalayak ramai selepas solat Jumaat, 6 Disember ini.
Kamalruazmi juga memerintahkan Mohd Affendi yang merupakan tukang rumah dikenakan denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal berbuat demikian.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang wanita berusia 52 tahun yang bukan isteri dan mahramnya menimbul syak perbuatan tidak bermoral pada pukul 1.40 pagi, 16 Jun lalu.
Perbuatan pasangan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Ranggon, Kemaman.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang memperuntukkan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara boleh dikenakan bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya berkuat kuasa 1 Januari lalu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram