PENINGKATAN kos sara hidup pada waktu ini menyebabkan ramai pihak semakin terbeban lebih-lebih lagi untuk mendapatkan hidangan makanan harian.
Ini kerana dengan perkembangan tersebut, ia secara langsung membawa kepada peningkatan harga makanan harian yang dinikmati.
Malahan, boleh dikatakan agak mustahil untuk pelanggan kini mendapatkan satu hidangan penuh ketika makan di luar pada harga di bawah RM5.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, sedar dengan kesukaran dialami khususnya golongan kurang berkemampuan, sebuah gerakan sosial di Kuala Muda, Kedah tampil mengambil alih sebuah restoran bagi membolehkan mereka menyediakan makanan pada harga RM3.
Dengan nilai tersebut, pelanggan boleh mendapatkan hidangan terdiri daripada nasi, tiga lauk dan minuman.
Pada masa sama, mereka yang tidak berkemampuan turut boleh mendapatkan makanan secara percuma.
Inisiatif tersebut dilakukan oleh gerakan yang dikenali Community Response Squad Movement.
Setiausahanya, Michael Saw, 36, berkata, mereka mengambil alih kedai makan terbabit yang merupakan restoran vegetarian apabila bekas pemilik memutuskan untuk menutup perniagaan itu.
Restoran terbabit terletak di 312, Jalan Kuala Ketil dari pukul 7.30 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali pada Jumaat.
“Kami membelanjakan kira-kira RM55,000 untuk mengubah suai dan menaik taraf premis.
"Kami membukanya semula pada 8 Disember dengan harapan dapat memberi kelegaan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan bergantung pada makanan ini untuk menjalani hari.
“Set makan RM3 disediakan untuk semua orang termasuk warga emas, orang kurang upaya dan gelandangan.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mampu walaupun RM3, kami akan menjalankan pemeriksaan latar belakang ke atas mereka dan jika mereka layak, makanan diberikan secara percuma,” katanya.
Set makanan terbabit disediakan di restoran yang terletak di 312, Jalan Kuala Ketil dari pukul 7.30 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali pada Jumaat.
Dalam pada itu, Michael mengalu-alukan orang ramai untuk menjamu selera di kedai makan itu yang menyediakan kira-kira 10 hidangan setiap hari, dan membayar harga biasa untuk menyokong inisiatif dijalankan.
"Kami percaya bahawa jika semua orang mengamalkan kebajikan, lebih ramai individu berisiko akan dapat dijaga," katanya.
Jelas beliau, makanan juga akan dihantar ke rumah penerima sekiranya mereka mengalami kekangan untuk ke restoran tersebut.
“Sejak wabak Covid-19 pada 2020, kami telah menghantar hampir 100 paket makanan kepada kira-kira 30 isi rumah yang kurang bernasib baik di kawasan ini setiap hari,” tambahnya.
Pada masa sama, Michael mengakui usaha mengoperasikan restoran terbabit sememangnya memerlukan kos yang tidak sedikit.
Ujar beliau, pihaknya membelanjakan kira-kira RM16,000 sebulan antara lain bagi perbelanjaan bil utiliti, gaji untuk dua tukang masak dan dua pelayan. — The Star/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram