“KAMI tidak menjual teh, kami menjual pengalaman."
Demikian kata Sheikh Aliur Rahman yang merupakan Pengerusi Kumpulan London Tea Exchange.
Dengan memegang jawatan tersebut, Syeikh Aliur sudah pasti perlu mengetahui segalanya mengenai minuman aromatik berkenaan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Perkara itu jelas kelihatan apabila beliau dengan mahir membawa tetamu menikmati sedozen jenis minuman di London Tea Exchange di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun, keghairahan Sheikh Aliur terhadap teh melangkau jauh melebihi hanya sekadar campuran teh dan perniagaan.
Beliau juga mahu mengubah industri dan komuniti yang terlibat dalam membawa teh terbaik dunia kepada pengguna di seluruh dunia.
Sheikh Aliur menunjukkan antara teh premium keluaran syarikatnya.
"Ramai orang minum teh di seluruh dunia tetapi kebanyakannya tidak memahami sejarahnya dan dari mana ia berasal," katanya kepada StarBiz 7.
Semasa acara menikmati hidangan minuman teh, Sheikh Aliur membawa pelanggannya dalam perjalanan yang cukup mencerahkan.
Beliau berkongsi latar belakang setiap adunan dan elemen yang diperlukan untuk menghasilkannya.
London Tea Exchange merupakan salah satu jenama terkemuka dalam teh premium dan mewah dan ia telah mengukuhkan reputasi itu dengan adunan yang luar biasa.
Syarikat itu pada masa ini bukan sahaja mempunyai 30 pilihan adunan sebagai sebahagian daripada rangkaian terasnya, tetapi turut memiliki lebih 800 jenis teh jarang ditemui dan premium diperoleh dari lebih 40 negara.
"Jika anda mahukan pengalaman teh yang premium, maka kami adalah tempatnya," ujar Sheikh Aliur.
Teh premium dan pelanggan
London Tea Exchange mengadakan pameran produknya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pameran London Tea Exchange di Kuala Lumpur (KL) menyaksikan penyediaan minuman teh tradisional seperti English Breakfast, Earl Grey dan Emperor's Palace Tea, serta gabungan kreatif seperti Bora Bora, Sencha Sakura, Pistachio dan Truffle, serta Sea of Blossoms.
Sheikh Aliur mengakui usaha untuk membawa teh premium ke dalam pasaran lebih meluas sudah lama dirancang.
"Sesetengah adunan yang kami pamerkan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan," dedahnya.
Ujarnya, perincian dan perbelanjaan digunakan dalam penyelidikan dan pembangunan adalah sesuatu yang kebanyakan jenama tidak sanggup untuk hadapi.
Namun, beliau mengakui bahawa perjalanan tersebut adalah sesuatu yang berbaloi untuk dilalui kerana ia membolehkan London Tea Exchange tampil lebih unik berbanding jenama lain.
Sea of Blossoms, misalnya, adalah gabungan kompleks yang menampilkan nektar 100 jenis bunga dari 22 negara.
Malah hidangan Earl Grey yang menjadi produk utama syarikat itu turut ditampilkan menerusi gabungan teh hitam dari Yunnan, China, dan Ceylon yang diadun dengan minyak bergamot tulen dari Calabria, Itali.
Hidangan untuk seorang raja
Pengerusi Kumpulan London Tea Exchange, Sheikh Aliur Rahman.
Dengan pilihan minuman yang pelbagai, tidak hairan apabila London Tea Exchange memiliki pelanggan yang pastinya dicemburui oleh pesaingnya termasuk daripada isi rumah diraja dan hotel mewah.
Pada Mei 2023, syarikat itu menghadiahkan Raja Charles III teh paling mahal di dunia yang dilaporkan bernilai sekitar £1.2 juta (RM6.78 juta) sekilogram, semasa pertabalan baginda.
"Ya, kami mempunyai teh yang sangat mahal.
"Dalam koleksi kami, saya boleh katakan bahawa 80 hingga 100 hidangan tidak dapat diperoleh melainkan anda mempunyai beberapa ratus ribu mata wang Pound sterling (£) di dalam poket anda.
"Tetapi kami juga mempunyai rangkaian pilihan teh yang luas dan boleh diakses pelanggan pada berpatutan,” ujarnya.
Ketibaan London Tea Exchange di Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada pengembangan global jenama itu.
Sheikh Aliur berpendapat bahawa kini adalah masa yang sesuai untuk memperkenalkan jenama itu di seluruh dunia.
“Terdapat permintaan sekarang untuk teh premium. Pasaran sudah bersedia kerana orang ramai memberi perhatian lebih kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka” katanya.
Sheikh Aliur turut teruja melihat minat yang ketara dalam pasaran di Malaysia terhadap hidangan teh premium.
Pada Oktober lalu, jenama itu bekerjasama dengan Shangri-La KL untuk mempamerkan beberapa tehnya.
Beliau menambah bahawa London Tea Exchange memperluaskan perkongsian itu merealisasikan ruang rehat yang menampilkan produk tehnya.
Jenama dan transformasi industri
Minat Sheikh Aliur terhadap teh tidak hanya sekadar mengenai aspek perniagaan.
Beliau mengimbas kembali minatnya dalam industri itu ketika berusia 18 tahun selepas menghadiri majlis perkahwinan kawan baiknya di Bangladesh.
Kawasan tempat keluarga berkenaan dikelilingi oleh ladang teh dan selepas melawat pasangan terbabit, Sheikh Aliur mula tertarik dengan industri terbabit.
Selama bertahun-tahun, dia mengumpul banyak pengetahuan tentang teh dengan membaca buku, menonton video dan melawat ladang di seluruh dunia yang mana beliau terlibat secara langsung bersama pakar teh dan orang yang terlibat dalam industri.
Sheikh Aliur membeli syarikat Tea London Exchange pada akhir 90-an.
Beliau juga mula mengumpul teh sukar dijumpai, yang katanya pada satu ketika berkembang kepada lebih 800 campuran unik.
"Dalam tempoh masa, saya menyedari teh yang jarang ditemui adalah sangat mahal dan menguntungkan, tetapi kebanyakannya tidak tahu mengenainya."
Semasa dia membina reputasi dalam industri teh, Sheikh Aliur telah dipelawa untuk mengambil alih London Tea Exchange.
Beliau akhirnya membeli syarikat itu pada akhir 90-an.
Mengambil alih sebuah syarikat yang mempunyai warisan dan sejarah yang telah lama wujud adalah satu tugas yang besar tetapi Sheikh Aliur menyahut cabaran itu.
“Ini adalah syarikat yang mempunyai sejarah ratusan tahun sejak 1600-an di bawah pemerintahan Raja Charles II. Sejujurnya, ia bukan sesuatu yang akan saya lakukan hari ini, tetapi ketika itu pada pertengahan 20-an, saya jauh lebih muda dan 'berdarah panas',” katanya sambil ketawa.
Tetapi beliau sudah pasti telah mengemudi London Tea Exchange ke tahap yang lebih tinggi.
Sheikh Aliur juga telah mencipta impak positif dengan Piagam Gaji Adil.
Inisiatif dibentangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan disokong oleh Sekretariat Komanwel tertumpu kepada peningkatan gaji bagi komuniti yang menjalankan perdagangan mereka merentasi industri teh dan industri lain.
Inspirasi itu diperoleh daripada cara teh dan hasil lain ditanam dan diperoleh yang tidak banyak berubah sepanjang sejarah.
"Ini sebahagiannya mengapa kita mempunyai perbezaan dalam gaji, peraturan dan kebajikan.
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita ubah supaya masyarakat hari ini dan generasi akan datang yang bekerja dalam industri ini tidak perlu hidup dalam kemiskinan," tambahnya. — The Star/RICHARD AUGUSTIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram