LALUAN berbumbung dan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Plaza Rakyat ke Jalan Pudu di Kuala Lumpur akan dinaik taraf, kata dua ahli lembaga penasihat Kuala Lumpur.
Projek itu akan dilaksanakan secara usaha sama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA).
Ahli lembaga penasihat Kuala Lumpur, Andre Lai berkata, bahagian-bahagian tertentu daripada kedua-dua struktur tersebut berada di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.
BACA LAGI: Kekal relevan bersama Barbarik, Mus May ‘tapau’ industri rock lebih 3 dekad bergelar rockers
BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul
"Keputusan telah dibuat semasa mesyuarat bersama baru-baru ini dengan semua pihak berkepentingan untuk menaik taraf dan mencantikkan struktur tersebut.
"Jambatan pejalan kaki yang menghubungkan stesen LRT bertingkat ke aras jalan hampir berusia 30 tahun.
"Ia merupakan sebahagian daripada pembangunan Plaza Rakyat dan sepatutnya dibina semula untuk dimasukkan dalam projek tersebut sebaik sahaja ia disiapkan.
"Namun, memandangkan pembangunan Plaza Rakyat telah terbengkalai, jambatan pejalan kaki itu kekal sebagai struktur sementara," ujarnya.
Walaupun penyelenggaraan berkala telah dilakukan, Andre berkata, struktur tersebut sudah usang dan perlu dinaik taraf.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada PRASARANA dan Rapid Rail atas kerjasama mereka kerana Stesen LRT Plaza Rakyat merupakan salah satu stesen yang paling sibuk untuk pelancong dan penduduk tempatan.
"Memandangkan Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean tahun depan dan Tahun Melawat Malaysia dijadualkan pada 2026, terdapat keperluan mendesak untuk mencantikkan kawasan ini," katanya.
Semasa lawatan ke jambatan pejalan kaki yang berada di bawah bidang kuasa PRASARANA, didapati beberapa bahagian penghadang yang melindungi pengguna daripada hujan telah rosak, manakala bumbung kelihatan sedikit tenggelam.
Namun, platform keluli untuk pejalan kaki masih dalam keadaan baik.
Laluan berbumbung di aras jalan, yang berada di bawah bidang kuasa DBKL, kelihatan kotor dan dipenuhi grafiti.
Sementara itu, ahli lembaga penasihat Kuala Lumpur, Carmen Leong berkata, jambatan pejalan kaki itu memerlukan pembaikan segera.
"Beberapa bahagian pagar berkarat dan pencahayaan juga perlu dinaik taraf.
"Penambahbaikan ini akan memastikan keselamatan pejalan kaki dan menyediakan persekitaran yang lebih selesa untuk pengguna pengangkutan awam," tambahnya.
Carmen berkata, penambahbaikan di kawasan bawah kendalian DBKL adalah termasuk membaiki bahagian yang rosak dan mengecat semula dinding.
"Bagi kawasan yang diuruskan oleh PRASARANA, kami telah menjadualkan satu mesyuarat untuk memuktamadkan butiran," katanya.
StarMetro telah menghubungi PRASARANA untuk mendapatkan komen namun setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang respons daripada pihak berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram