
PENDUDUK di sekitar Taman Cheras Perdana, Cheras, Selangor gempar dengan penemuan sebuah bagasi berwarna hitam pada pagi Selasa.
Difahamkan, terdapat mayat yang disumbat di dalam bagasi berkenaan ekoran daripada bau busuk yang dikeluarkan.
Bagasi berkunci yang turut diikat dengan tali berwarna merah itu diletakkan di tepi longkang besar.
Bau busuk ditambah lalat dan ulat kecil di sekitar bagasi berkenaan mendatangkan curiga kepada penduduk.
BACA LAGI: [VIDEO] Satu stadium dengar meraung, bek 28 tahun patah kaki cuba halang rembatan pemain Sabah
BACA LAGI: Lepas gaduh dengan ibu, gadis Selama lesap tak balik rumah
Penduduk Cheras gempar dengan penemuan sebuah bagasi berwarna hitam pada pagi Selasa.
Kredit: Orang awam pic.twitter.com/kS7BOzznBU
— Majoriti (@majoritionline) December 10, 2024
Kejadian itu turut dirakam individu yang berada di lokasi kejadian, sebelum rakaman berdurasi 23 saat itu dimuat naik di laman X (Twitter) pada hari sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan bahawa beg bagasi berwarna biru yang dijumpai di lokasi kejadian mengandungi mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 11.45 pagi berkenaan penemuan bagasi dalam keadaan mencurigakan dan berbau busuk di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn, Kajang.
"Sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9).
"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pada Rabu pada pukul 9 pagi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
"Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram