"SEPARUH nafas habis buat mengejar (feri)," itulah kata-kata yang diluahkan oleh seorang lelaki apabila jadual perjalanannya dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak tinggi.
Menerusi hantaran di media sosial, Abu Umar tampil menjelaskan kejadian yang berlaku kepadanya sewaktu bercuti di Langkawi.
"Jadual feri sepatutnya berlepas pada pukul 12.30 tengah hari, notis tunda batal pada pukul 12.15 tengah hari.
"Jadinya kami bergegas ke Dermaga Tanjung Lembung di Bukit Malut untuk mengejar perkhidmatan feri roll-on roll-off (RORO) ke arah Kuala Perlis yang dijadualkan bergerak pada pukul 1 petang," katanya.
Abu Umar mendedahkan peristiwa sewaktu perjalanan ferinya terpaksa dibatalkan susulan keadaan cuaca yang buruk.
Setelah sampai, Abu Umar bergerak pula dari Kuala Perlis untuk menuju rumahnya yang terletak di Kuala Kedah.
"Sampai di Kuala Kedah sekitar pukul 5.30 petang, kita adik beradik ramai, kena pergi salam pak anjang, abang long dan ayahanda semua. Pukul 9 malam Rabu baru selesai. Siap tidur lagi sebab tidak larat," katanya.
Bagaimanapun, Abu Umar menganggap terbatalnya perjalanan feri berkenaan sebagai satu ujian dalam kehidupan.
"Inilah kehidupan. Ujian dalam perjalanan itu pasti berlaku... tetapi cara kita menghadapi semua ujian itu yang menentukan bagaimana kita dapat tiba ke destinasi yang dituju," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 10 perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak tinggi di perairan Kuala Kedah pada Khamis.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, semua operasi feri bagi laluan berkenaan dibatalkan bagi hari ketiga berikutan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer perjam (km/j) serta ombak setinggi 3.5 meter.
Dr Baharin berkata, operasi berkenaan terpaksa dibatalkan kerana boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal.
"Sebuah feri yang bertolak dari Langkawi ke Kuala Kedah pada pukul 8.30 pagi tadi (Khamis) yang membawa 589 penumpang juga terpaksa berpatah balik.
“Sebanyak lima feri dari laluan Langkawi ke Kuala Kedah dibatalkan pada Khamis melibatkan seramai 2,472 penumpang. Antara yang terlibat adalah feri pada pukul 8.30 pagi; pukul 10.30 pagi; pukul 12 tengah hari; pukul 1.30 tengah hari dan pukul 2.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya lagi, penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan dan bagi penumpang yang membuat pembelian insurans bernilai RM1.08 boleh membuat tuntutan insurans.
"Bagi feri yang ditunda antara empat hingga lapan jam, penumpang akan menerima tuntutan insurans berjumlah RM50; bagi feri ditunda melebihi lapan jam (RM200); perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (sehingga RM1,000); kehilangan bagasi (sehingga RM200); kematian dan hilang supaya kekal akibat kemalangan (RM30,000) dan perbelanjaan pengebumian bagi semua kes berjumlah RM500," katanya.
Dr Baharin berkata, tuntutan insurans boleh dilakukan dengan menghantar butiran tuntutan beserta dokumen sokongan kepada [email protected].
"Sebarang pertanyaan boleh dibuat bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat.
"Perjalanan keluar masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis masih selamat untuk semua operasi perkhidmatan feri dan feri RORO ketika ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram