POLIS menjalankan siasatan menyeluruh berhubung seorang penyanyi rap yang mendakwa dirinya dirakam secara rahsia ketika serbuan di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya, Selangor, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati sebelum itu serbuan dijalankan pasukan Bahagian Operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di lokasi tersebut.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, pengadu mengarahkan anggotanya untuk merakam video dan mengambil gambar bagi membuktikan aktiviti berkaitan dengan urutan selain melakukan pemeriksaan lesen perniagaan.
BACA LAGI: Kekal relevan bersama Barbarik, Mus May ‘tapau’ industri rock lebih 3 dekad bergelar rockers
BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul
"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah MBSJ dan menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak diberikan kad pengenalan diri oleh seorang wanita tempatan selain individu itu mempertikaikan tindakan dokumentasi yang dijalankan.
Jelasnya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan turut melakukan provokasi dan merakam tugas pihak serbuan menggunakan telefon bimbit miliknya.
“Pengadu kemudiannya bersama suspek turut membuat pemeriksaan telefon bimbit anggota terbabit yang didakwa merakam video sebelum mendapati tiada gambar video atau gambar wanita itu yang dirakam.
"Pengadu turut menjelaskan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang kepada wanita berkenaan," ujarnya.
Wan Azlan memaklumkan, pengadu membuat laporan polis berkaitan serbuan yang ditularkan dalam media sosial manakala wanita tersebut turut sama membuat laporan berhubung dakwaan telah dirakam ketika dirinya tidak berbaju semasa diurut.
“Siasatan dijalankan berdasarkan laporan kedua-dua pihak di bawah Seksyen 186/ 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Majoriti pada Jumaat melaporkan, penyanyi hip hop popular tempatan, Zamaera, 29, atau nama sebenarnya Sharifah Zamaera Syed Zafilen Al Edros mendakwa privasi dirinya diceroboh beberapa pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah pusat urut di SS14, Subang Jaya.
Jelasnya, dirinya yang hanya diselimuti tuala ketika itu dirakam oleh salah seorang pegawai berkenaan yang menurutnya sengaja melakukan perbuatan itu atas kepentingan diri sendiri.
Mendakwa tindakan itu sebagai tidak bermoral, Zamaeraa menggesa agar pihak berkenaan tampil menjelaskan lebih lanjut berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram