POLIS menahan seorang penjaga rumah anak yatim di Taman Mas, Kulai, Johor pada 29 November lalu kerana dipercayai merogol seorang penghuni di bawah jagaannya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di rumah anak yatim swasta tersebut, sekitar pukul 3 pagi pada 30 November lalu.
Menurutnya, suspek dipercayai merogol mangsa di rumah anak yatim ketika mangsa berusia antara 13 hingga 15 tahun.
“Sebelum ini pihak polis menerima laporan mengenai kejadian rogol seorang remaja perempuan warga tempatan pada pukul 9.48 malam, 29 November lalu.
"Siasatan awal menunjukkan mangsa, yang kini berusia 17 tahun telah dirogol antara 2020 hingga 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, suspek kini direman dari 30 November hingga 10 Disember untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram