[VIDEO] Khabar bahagia bertukar duka, pengantin perempuan meninggal dunia selepas akad nikah akibat sakit jantung di Pekan Air


  • Benua
  • Sabtu, 07 Dis 2024

Pengantin perempuan itu meninggal dunia selepas selesai akad nikah dalam kejadian di Pekon Air Naningan, Kabupaten Tanggamus, Lampung, Indonesia.

SATU majlis perkahwinan di Indonesia bertukar duka selepas pengantin perempuannya dilaporkan meninggal dunia sebaik sahaja melangsungkan majlis akad nikah pada Khamis lalu.

Kejadian tersebut difahamkan berlaku di Pekan Air Naningan, Kabupaten Tanggamus, Lampung, Indonesia.

Insiden mengejutkan itu sempat dirakam individu yang berada di lokasi kejadian sebelum dikongsikan di media sosial.

Video yang dimuat naik ke laman X (Twitter) itu menunjukkan pasangan pengantin, Rika Amiyana dan Nur Kholik pada awalnya menjalankan proses akad nikah seperti biasa.

Malah, pasangan pengantin juga dilihat melakukan acara sungkeman (tradisi sebagai tanda terima kasih anak kepada ibu bapa), selain sempat bersalam-salaman dengan tetamu jemputan.

Bagaimanapun, rakaman yang sama kemudian menunjukkan susuk pengantin perempuan seperti tidak sedarkan diri dan dibawa masuk ke dalam rumah oleh sekumpulan individu.

Menerusi satu lagi video, kelihatan penduduk kampung mengangkat sebuah keranda dan bersiap sedia untuk mengebumikan pengantin perempuan tersebut.

Sementara itu, Nur Kholik mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa isterinya meninggal dunia kerana mempunyai sejarah penyakit jantung sejak dari kecil.

"Mula-mula majlis (berlangsung seperti) biasa, lepas akad nikah, kami bertukar cincin tetapi semasa bersalaman di atas pelamin, dia mengadu kakinya sakit, kemudian dia duduk dan tidak lama selepas itu, Rika pengsan," katanya.

Rika kemudiannya dibawa ke pusat kesihatan dengan keadaannya yang semakin teruk. Kemudian dia dibawa ke hospital dan akhirnya disahkan meninggal dunia.

"Ya, dia terus dibawa ke pusat kesihatan masyarakat, keadaannya sudah lemah. Kemudian dia dirujuk ke hospital, sehingga doktor hospital maklumkan dia tidak dapat menahannya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram