KESELAMATAN jalan di sekitar Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dipertingkatkan melalui projek kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa kumpulan advokasi mobiliti.
DBKL dengan kerjasama Global Designing Cities Initiative (GDCI) dan wakil tempatan, Bike Commute Malaysia (BCMY) di bawah Bloomberg Philanthropies Initiative bagi Global Road Safety mahu menggalakkan pengguna jalan raya agar lebih banyak berjalan atau membuat aktiviti berbasikal.
"Projek ini dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama melibatkan peningkatan laluan pejalan kaki dan laluan basikal.
"Fasa kedua melibatkan peningkatan persimpangan jalan dan tempat lintasan pejalan kaki.
“Fasa pertama telah diselesaikan tahun lepas manakala fasa kedua, yang bermula Oktober, telah siap baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Lee berkata, persimpangan Jalan Tun Mohd Fuad dan Jalan Datuk Sulaiman dipanjangkan untuk mengelak individu membuat pusingan U secara haram.
DBKL juga menyatakan bahawa projek itu akan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk penduduk TTDI.
"Kesalinghubungan yang lebih baik juga akan memberi manfaat kepada perniagaan dengan membawa lebih banyak trafik pejalan kaki," katanya.
Tinjauan oleh StarMetro mendapati bahawa satu lintasan pejalan kaki berbonggol tinggi telah dibina di Jalan Tun Mohd Fuad.
Pengarah BCMY, Justin Lee berkata, kewujudan lintasan pejalan kaki itu akan menggalakkan pemandu untuk mengurangkan kelajuan.
"Sekitar 700 pejalan kaki melintas jalan ini pada waktu tengah hari.
“Dahulu, tiada titik lintasan yang ditetapkan untuk pejalan kaki dan mereka terdedah kepada bahaya kerana pemandu yang menggunakan jalan ini sering memandu secara laju.
“Lintasan pejalan kaki yang dinaikkan ini akan menggalakkan kereta untuk memperlahankan kelajuan, menjadikannya lebih selamat untuk pejalan kaki melintas,” katanya.
Lee menambah bahawa lintasan pejalan kaki itu dilengkapi sambungan yang lancar ke laluan pejalan kaki, memudahkan orang yang memiliki kesukaran mobiliti seperti warga emas dan pengguna kerusi roda.
Pengurus program GDCI, Jashwanth Tej Kasala berkata, bahagian perlindungan pejalan kaki telah dibina di persimpangan antara Jalan Tun Mohd Fuad dan Jalan Datuk Sulaiman.
Beliau berkata, laluan itu berguna untuk membolehkan pejalan kaki berhenti seketika ketika melintas jalan yang luas dengan enam lorong berkenaan.
“Persimpangan ini dahulunya tidak mempunyai lintasan jalan yang sesuai.
“Unsur bahaya dari sudut keselamatan dikurangkan dengan mendesak adanya reka bentuk persimpangan," katanya.
Lee juga berkata, tebing di persimpangan tersebut telah dipanjangkan untuk menghalang pemandu daripada membuat pusingan U secara haram.
Katanya lagi, kajian untuk menilai infrastruktur jalan di kawasan lain juga akan dijalankan.
"Kerja-kerja menaik taraf jalan ini akan dijalankan secara berperingkat. DBKL akan memberi keutamaan kepada pusat-pusat perniagaan," katanya. — The Star/LEW GUAN XI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram