
RIBUAN bangkai ikan di sebuah tasik di Taman Tasik Intan Baiduri sekitar Kuala Lumpur menimbulkan keresahan penduduk berhampiran.
Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri berdepan dengan bau busuk itu sejak 30 November dan setakat 2 Disember, tasik itu masih belum dibersihkan.
Penduduk meluahkan kebimbangan berhubung kehadiran pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak mengutip ikan-ikan tersebut, terutamanya tilapia untuk dijual kepada pengguna.
BACA LAGI: [VIDEO] Desakan ibu agar turun berat badan bantu Nurzarina jadi atlet MTB negara
(Dari kiri) Khairul Anuwar, Norhaizam dan Rashid meninjau keadaan tasik di Taman Tasik Intan Baiduri yang dipenuhi dengan ribuan bangkai ikan.
Pengerusi PPR Intan Baiduri Blok A, Khairul Anuwar Yusoff berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai masalah itu.
“Kami bimbang ia menjadi punca pencemaran. Tasik itu juga berfungsi sebagai kolam tadahan,” katanya.
Khairul Anuwar menekankan keperluan untuk tindakan segera berikutan segelintir penduduk mendapati kewujudan individu mengutip bangkai ikan berkenaan.
Tinjauan pada Isnin mendapati, beberapa orang dikesan menggunakan pukat untuk mengambil ikan dengan bangkai terkumpul di sepanjang 300 meter (m) di pinggir tasik.
“Kami hanya mengambil yang hidup untuk dijual,” dakwa salah seorang individu ketika ditanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Rashid Samad berkata, kejadian serupa pernah berlaku pada 2017.
Dilaporkan pada masa itu, aliran bahan pencemar berterusan ke dalam kolam meningkatkan kadar oksigen biokimia (BOD) menyebabkan ikan mati.
“Memandangkan ia berlaku lagi, bagaimana kualiti air di tasik itu? Pemancing kerap memakan atau menjual hasil tangkapan mereka dari tasik. Adakah ia selamat untuk dimakan?”, soalnya.
Pengerusi Blok B, Norhaizam Abdul Majid berkata, penduduk mengelak tasik itu sejak Sabtu lalu kerana bau busuk yang menyengat.
Keadaan itu menyebabkan mereka kehilangan satu-satunya ruang rekreasi hijau di kawasan kejiranan.
“Saya harap DBKL mengambil tindakan segera,” katanya. The Star/SHALINI RAVINDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram