SEBELUM memulakan perniagaan sebagai pengedar biji kopi segar, Nina Razak bukan penggemar minuman tersebut.
Malah, dia juga mempunyai pengalaman yang agak kurang baik terhadap minuman berkenaan khususnya kopi segera.
"Dulu kalau saya minum kopi segera 3- in-1 atau kopi di kedai mamak, saya akan sakit kepala dan migrain.
"Jadi saya akan cuba elak minum kopi sampailah ada sekali itu kawan saya ajak minum di kafe yang sediakan biji kopi segar.
"Itulah baru pertama kali saya rasa okey," kongsinya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bermula daripada pengalaman itu, ia mengubah persepsi Nina terhadap minuman tersebut.
Malah, detik tersebut juga mendorong dia dan rakannya untuk lebih kerap mengunjungi kafe terdapat di sekitar Lembah Klang bagi mencari kopi terbaik.
Nina ketika mula mempelajari teknik memanggang biji kopi segar. — Instagram/nina_razak
Pada masa sama, minat baharu tersebut turut mencetuskan idea kepadanya yang ketika itu sudah berhenti kerja selepas melahirkan anak pertamanya pada 2018 bagi memulakan perniagaan berasaskan kopi.
"Saya memang suka terlibat dengan perniagaan. Masa di sekolah pun pernah jual tudung dan juga lensa mata.
"Malah dekat universiti pun saya akan sewa tapak dan jual barang di mana-mana acara," katanya yang juga graduan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI).
Idea meniaga kopi itu kemudiannya direalisasikan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 apabila Nina mula menjual kopi botol secara dalam talian dari rumahnya di Shah Alam.
Dalam tempoh tersebut, dia juga seterusnya ditakdirkan bertemu dengan seorang wanita dikenali sebagai Kak Noreen yang sudah menjalankan perniagaan memanggang kopi di Sungai Buloh, Selangor selama lebih 20 tahun.
Pertemuan tersebut memberikan inspirasi kepadanya terhadap peluang yang wujud dalam industri kopi tempatan sehingga mendorongnya untuk menyewa mesin panggang kopi.
"Bila saya jumpa Kak Noreen itu, saya agak terkejut ada rupanya pemanggang kopi perempuan. Sebab saya pun tak pernah tahu.
"Kemudian bila dia kongsikan tentang ilmu memanggang kopi. Proses memanggang itu juga bagi saya tak jauh beza dengan memasak.
"Sebagai contoh, hidangan rendang itu sendiri ada macam-macam cara. Begitu juga kopi," ujarnya yang turut merupakan pelatih profesional senaman pound.
Beranikan diri jadi pengedar kopi
Kopi yang sedang dipanggang di kilang di Sungai Buloh. — Instagram/nina_razak
Selepas mula menyewa sebuah mesin pemanggang di Sungai Buloh, Nina akhirnya membuka syarikat Nuna Rica pada 2022.
Antara perkhidmatan utama disediakannya adalah mengedar biji kopi dipanggang mengikut kesesuaian pelanggannya yang terdiri daripada pemilik kafe.
Ujarnya, idea menyediakan perkhidmatan mengedar biji kopi 'custom' terbabit timbul berdasarkan pengalamannya ketika menjual kopi botol.
Pada waktu itu, menurutnya, peniaga kopi kecil sepertinya berdepan kesukaran mendapatkan bekalan biji kopi segar pada harga murah.
"Masa itu jumlah tempahan minimum atau MOQ yang tinggi. Semua dalam 10 kilogram (kg) ke 15 kg sedangkan keperluan saya hanya 2 kg ke 3kg.
"Jadi dari situ saya tahu ramai yang nak mula berniaga kopi tapi ada cabaran dari segi modal.
"Sebab banyak pengedar besar di luar sana hanya edar untuk jumlah besar tapi mereka tak boleh penuhi permintaan peniaga kecil.
"Jadi, saya nampak lebih kepada cara kita nak bantu peniaga kecil," ujarnya.
Nina turut bekerja sebagai pelatih profesional senaman pound. — Instagram/nina_razak
Menurutnya, dengan langkah tersebut, dia berhasrat supaya kualiti kopi dijual di kafe seluruh negara termasuk yang beroperasi dengan skala kecil terjaga tanpa perlu meningkatkan harga.
"Apa yang saya lihat berlaku dalam industri adalah orang nak kopi pada harga murah. Jadi mereka akan berkompromi soal kualiti walaupun hanya jual di kios.
"Jadi saya cuba untuk pastikan saya berikan biji kopi dengan harga yang mampu milik," katanya.
Pada waktu ini, Nina berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 200kg biji kopi segar setiap minggu, iaitu satu jumlah yang masih agak kecil berbanding pengedar lain.
Menurutnya, ketika ini, Nuna Rica mempunyai sekurang-kurangnya lima jenis biji kopi campuran atau blend coffee.
Nina ketika mengendalikan proses memanggang biji kopi. — Instagram/nina_razak
"Kalau ikutkan senarai biji kopi yang kami keluarkan banyak, tapi waktu ini kita tumpu kepada lima jenis biji kopi campuran.
"Untuk kopi jenis biji kopi 'single origin' pula kita bergantung kepada permintaan kafe. Ada sesetengah kafe itu dia memang ambil yang sama sahaja.
"Contohnya dia suka biji kopi Brazil. Tapi ada sesetengah dia nak ikut musim. Dua bulan dia nak Colombia, bulan depan dia nak Kenya pula.
"Jadi kita ikut keperluan mereka," ujarnya yang mengendalikan perniagaan itu secara berseorangan sambil dibantu dua orang pekerja sambilan di kilangnya di Sungai Buloh.
Selain mengedar kopi, Nina berkata, dia juga menyediakan perkhidmatan jururunding kepada mereka yang mahu mendapatkan panduan untuk membuka perniagaan kedai kopi.
"Contoh kalau ada orang nak buka kafe, tapi tiada langsung pengetahuan. Jadi saya boleh berikan khidmat nasihat.
"Ia meliputi daripada isu pemilihan mesin, bajet dan bekalan biji kopi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram