SEJAK usia kanak-kanak lagi Amrisal Tando, 40, sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan buah.
'Bergurukan' bapa saudara yang juga seorang penjual buah, Amrisal sering mengikuti lelaki itu berniaga di tapak pasar malam sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Selayang dan Petaling Jaya ketika menginjak umur 12 tahun.
Upah RM5 yang diterima setiap kali turun padang membantu bapa saudara ketika itu amat besar maknanya bagi usahawan berasal dari Selayang, Selangor ini.
“Pada waktu itu, kalau balik sekolah awal saya terus pergi tolong pak cik. Semasa cuti sekolah, bolehlah ikut pak cik (berniaga pasar malam) di kawasan lebih jauh sampai ke Raub, Pahang.
"Saya memang minat berniaga buah, apatah lagi pak cik akan beri upah setiap kali membantunya. Dapatlah saya gunakan sebagai duit poket dan berbelanja membeli barang keperluan ketika itu.
"Lagipun saya bukanlah berasal daripada keluarga senang. Bapa bekerja sebagai buruh manakala ibu pula seorang suri rumah sepenuh masa,” katanya kepada Majoriti.
Kelapa muda yang dijual RM5 sebiji adalah antara buah yang paling mendapat sambutan ramai.
Anak kedua daripada 10 beradik ini mula berniaga secara serius sejak usia 16 tahun, selepas memutuskan untuk berhenti sekolah di tingkatan empat.
Dek minat yang mendalam terhadap industri buah-buahan, Amrisal pada awalnya memberi fokus untuk jualan durian terutamanya ketika tiba musim buah itu, kebiasaannya pada Jun dan penghujung tahun.
Keuntungan ketika itu katanya, boleh mencecah anggaran RM60,000 hingga RM70,000 setiap kali berniaga.
"Dulu saya sendiri masuk ke kebun untuk pilih buah terbaik dan berkualiti. Durian juga ketika itu dijual murah dan keuntungan boleh cecah 200 peratus.
"Namun sekarang, dengan harga buah yang semakin tinggi dan persaingan sengit, untung hanya sekitar 20 peratus sahaja,” ujarnya.
Amrisal turut menjelaskan, sebelum ini kebiasaannya peniaga boleh terus mendapatkan buah dari kebun di Pahang.
"Berbeza dengan sekarang, khidmat peraih sebagai orang tengah digunakan untuk mengumpul buah durian di satu-satu kawasan, sebelum dibeli oleh peniaga.
"Kaedah peraih dalam pasaran durian tempatan seperti ini adakalanya membebankan peniaga.
"Dulu penat tapi puas hati sebab kita boleh pilih buah elok di kebun. Sekarang memang lebih mudah tapi risiko tinggi dan harga lebih mahal,” ujarnya.
Aneka buah tempatan dan import
Jika 24 tahun dahulu, usahawan tersebut hanya menjalankan perniagaan durian dan buah-buahan mengikut musim tertentu, namun situasi agak berbeza ketika ini.
Kini, perniagaan Amrisal tidak lagi terhad kepada durian. Setiap hari, dia menjual buah tempatan dan import seperti kelapa muda, pisang, ciku, limau, tembikai dan mangga.
Sejak sekitar 2012, Amrisal mengambil keputusan untuk memasang kanopi dan meja lipat di tepi jalan dekat Damansara Perdana, Petaling Jaya untuk berniaga.
Sebagai suami dan bapa kepada tiga cahaya mata, perniagaan buah sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan dirinya sekeluarga.
Dengan jualan itulah, usahawan yang mendirikan rumah tangga sejak 12 tahun lalu itu menampung kehidupan keluarga kecil mereka.
"Setiap hari, selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya akan ke pasar borong atau Pasar Chow Kit kira-kira pukul 8 pagi untuk mendapatkan buah yang segar dan berkualiti.
“Kalau dulu bujang, saya hanya berniaga menjelang musim durian, tapi sekarang, dengan anak isteri, saya kena kerja hari-hari untuk menyara keperluan kami sekeluarga,” ceritanya yang turut dibantu isteri dalam menjalankan bisnes.
Ditanya buah yang paling gemar dicari pelanggan, beritahu Amrisal, kelapa muda yang dijual dengan harga RM5 sebiji merupakan antara buah yang paling mendapat sambutan ramai.
"Boleh dikatakan separuh jualan harian kami datang daripada jualan kelapa muda. Tak ada kelapa, saya cuti berniaga,” katanya tertawa kecil.
Amrisal dibantu isterinya untuk menjalankan perniagaan buah-buahan.
Kurang membeli
Kongsinya lagi, trend pembelian terhadap jualannya menunjukkan penurunan agak ketara dan situasi itu ujarnya, agak membimbangkan mereka suami isteri.
Jika dahulu tambah Amrisal, hasil jualan harian boleh mencecah RM2,000, berbeza dengan kini apabila dia memperoleh RM900 hingga RM1,000 sehari.
Akuinya, buah-buahan juga tidak terlepas daripada kenaikan harga. Lima tahun lalu, sebiji kelapa dijual dengan harga RM3.50, namun kini mencecah RM5 sebiji.
"Perkembangan ini tidak dinafikan terdorong oleh kenaikan harga minyak. Kelapa pantang harga minyak naik, ia pun ikut naik.
"Harga buah yang semakin meningkat memberi tekanan kepada keuntungan. Ini kerana walaupun harga barang naik, kuasa beli pelanggan semakin berkurangan.
"Jualan kami merosot sekitar 20 hingga 30 peratus sejak harga minyak naik pada tahun ini,” ujarnya yang turut terpaksa menaikkan harga buah-buahan bagi menampung kos operasi di tengah-tengah bandar.
Campak duit
Selain cabaran dari segi kos, usahawan berkenaan juga adakalanya perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.
Diherdik, dimaki malah dicampak duit ke atas meja. Apa sahaja yang tidak pernah dihadapnya sepanjang hampir 30 tahun menerokai dunia perniagaan?
"Pernah ada yang baling duit sebab tak puas hati. Ada yang marah buah tak manis atau tidak kena seleranya dan macam-macam komen lagi.
"Saya hadap sahajalah, nak tak nak kena cari duit juga kerana nak besarkan anak-anak dan sediakan keperluan keluarga.
"Namun tidak semua pelanggan seperti itu. Ramai lagi yang melayan kami sebagai peniaga dengan penuh adab.
"Memang letih, tapi kepuasan tetap ada bila tengok rezeki cukup untuk keluarga," bicaranya yang mengimpikan untuk membuka sebuah kedai buah di bawah jenamanya sendiri kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram