PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020 memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi global.
Di Malaysia, sektor perniagaan turut merasai impaknya, dengan banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menghadapi pelbagai cabaran tidak dijangka.
Malah, banyak daripada syarikat terpaksa gulung tikar akibat selepas berdepan dengan kesulitan cukup besar daripada segi kewangan sehingga kepada operasi.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Namun, di sebalik situasi getir yang berlaku, lain pula ceritanya buat syarikat percetakan, Bumi Hayat Printing yang beroperasi di Taman Kota Puteri, Johor Bahru, Johor.
Ketika kebanyakan perniagaan bergelut terus hidup, pemilik yang juga Pengarah Urusan Bumi Hayat Printing, Mohd Amer Fadzlan Md Isa, 38, memilih waktu berkenaan bagi mengembangkan perniagaannya yang diusahakan bersama isteriya sejak 2014 dengan membuka sebuah kilang pada November 2011.
Menurutnya, keyakinan mengambil langkah tersebut didorong oleh matlamat yang sudah dirangka sejak awal dia membuka perniagaan di samping pengajaran diperolehi daripada kegagalan perniagaan pertamanya menerusi perusahaan bengkel kereta di Kuala Lumpur.
Kilang Bumi Hayat Printing dibuka pada November 2020.
"Saya ada pengalaman menggerakkan bisnes sebelum ini dan menyedari mengenai pentingnya sesebuah perniagaan memiliki aliran tunai yang baik.
"Apabila Covid-19 datang, pengeluaran untuk produk jahitan dan barangan percetakan masih ada walaupun agak perlahan.
"Tapi pada masa sama, saya tukarkan syarikat saya waktu itu untuk jadi pembekal barangan kesihatan untuk pastikan syarikat saya kekal hidup.
"Jadi, waktu itu permintaan sangat tinggi dan syarikat pun buat sedikit untung. Dengan keuntungan itu, kita buat keputusan untuk labur dan buka kilang," katanya kepada Majoriti.
Sebelum memulakan perniagaan percetakan, Amer yang merupakan anak jati Ampang, Kuala Lumpur terlebih dahulu menceburkan diri dalam bidang automotif dengan membuka bengkel kereta di Kampung Baru, Kuala Lumpur 2008.
Keputusan memulakan perniagaan tersebut diambil selepas dia mendapat pendedahan selama kira-kira lebih dua tahun berkhidmat sebagai penjaga stok di kilang milik syarikat kenderaan nasional yang dibuka di Lembah Klang.
Bagaimanapun, bengkel diusahakannya hanya mampu bertahan selama dua tahun sebelum terpaksa ditutup selepas berdepan kesulitan daripada segi kewangan.
"Kita gagal untuk uruskan aliran tunai syarikat. Lagi pun waktu itu kita tiada pengalaman.
"Kemudian saya terjun dalam bisnes itu pun dalam keadaan orang kata tak cukup modal dan sebagainya.
"Jadi itu kegagalan pertama sayalah," kongsi Amer yang mempunyai pendidikan hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Amer (kanan) dan isterinya, Shaheera Nazira Mohd Nasir memulakan Bumi Hayat Printing pada 2014.
Susulan daripada itu, Amer kemudiannya mengambil keputusan untuk membawa keluarganya berhijrah ke kampung isterinya di Johor Bahru (JB) pada 2014.
Dalam tempoh tersebut, dia turut mula mencari idea mengenai perniagaan baharu yang ingin diusahakannya.
"Lepas pindah JB, pada awalnya kita pun tak tahu nak buat apa. Tapi, saya cakap dengan isteri, selain daripada pengalaman waktu mula-mula kerja, saya ini jarang kerja dengan orang.
"Kemudian saya pun ada tengok YouTube dan nampak orang masa itu tengah buat pengeluaran percetakan baju. Waktu itu, aktiviti percetakan ini memang tengah banyak dan sedang berkembang.
"Jadi saya dengan isteri waktu itu yang juga dah berhenti kerja buat keputusan untuk mulakan perkhidmatan kecil-kecilan," ujarnya.
Selama kira-kira dua tahun sejak 2014, pasangan suami isteri itu mengoperasikan syarikat tersebut secara sendiri dengan menyediakan perkhidmatan percetakan seperti kad kahwin dan t-shirt.
Dengan perkembangan perniagaannya, mereka kemudiannya mula mengambil pekerja pada 2016 dengan kapasiti pengeluaran boleh mencecah sehingga 5,000 helai t-shirt sebulan.
Dengan pembukaan kilang Bumi Hayat Printing pada 2020, kapasiti pengeluaran syarikat tersebut kini meningkat mencecah kepada 20,000 helai t-shirt sebulan dengan pekerja seramai kira-kira 40 orang.
Selain mengambil tempahan percetakan barangan khususnya melibatkan pakaian, Bumi Hayat Printing juga menjadi pembekal kepada jenama pakaian tempatan selain turut mengeluarkan produk pakaian sendiri.
Kerugian RM50,000
Antara produk pakaian yang dihasilkan oleh Bumi Hayat Printing.
Dalam pada itu, Amer mengakui bahawa perjalanan untuk mengembangkan perniagaannya sehingga mencapai tahap dikecapi ketika ini bukanlah mudah.
Malah ujarnya, dia juga pernah dengan kekangan daripada segi ilmu perniagaan di samping turut mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.
"Cabaran nak kembangkan bisnes pertamanya daripada segi modal. Kemudian kita juga belajar banyak benda daripada 2014 sampai sebelum 2020.
"Mula-mula buka pengeluaran kecil-kecilan tak jadi. Lepas tu, kita cuba buat baju pun tak jadi. Kadang-kadang, kita dah labur untuk pengeluaran kecil-kecilan pun kita masih hadapi banyak kerugian.
"Kita pernah rugi paling banyak dalam sekitar RM50,000 hingga RM60,000. Dalam situasi macam itu, memang kena banyak ikat perutlah," ujarnya.
Daripada kesemua pengalaman tersebut, Amer berkata, dia mula belajar lebih banyak pengajaran antara lain cara mengawal kos dengan mengelakkan pembaziran dan juga kaedah mendapatkan bahan mentah pada harga terbaik.
"Banyak ilmu yang kita tak ada tapi kita belajar melalui pengalaman termasuk tunjuk ajar daripada syarikat lain," ujarnya.
Dalam pada itu, Amer mengakui modal sememangnya merupakan antara cabaran utama perlu dihadapi untuk mengembangkan perniagaan termasuk dengan membuka kilang.
Namun menurutnya, hal tersebut dapat ditangani sekiranya sesebuah perniagaan mempunyai rangkaian dan hubungan baik termasuk bersama pembekal.
Operasi Bumi Hayat Printing kini disokong dengan 40 orang pekerja.
"Untuk buka kilang ini, kita sebenarnya perlu habis berjuta. Tapi disebabkan hubungan baik kita dengan pembekal dan sebagainya, kita dapat jimatkan kos itu. Maksudnya, untuk duit tunai keseluruhan kami berbelanja dalam kira-kira RM700,000.
"Kita dibantu oleh banyak pembekal kita yang tolong bagi installment pada tanpa interest selama setahun dan dua. Ada juga yang bagi kita hutang dulu untuk bahan mentah dan sebagainya.
"Jadi, apa yang saya nampak dalam bisnes, modal memang paling utama tapi hubungan baik dan kepercayaan dengan kita punya pembekal sangat membantu," katanya.
Pada 2023, Amer berkata, Bumi Hayat Printing berjaya merekodkan pendapatan hampir RM3 juta.
Untuk tahun ini pula, beliau berkata, setakat November, pendapatan direkodkan menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu.
Bergerak ke hadapan, Amer berkata, Bumi Hayat Printing merancangkan untuk mengembangkan lagi dua jenama produk keluaran syarikatnya.
Ia terdiri daripada jenama pakaian kanak-kanak, Trolley Monkey dan jenama tudung, Xera Hijab Exclusive.
Selain itu, Bumi Hayat Printing turut merancang menambah cawangan kedai jualannya yang kini beroperasi di Taman Cahaya, Kota Puteri, Johor Bahru.
Malah, Amer berkata, syarikatnya turut memiliki cita-cita untuk membuka cawangan jualannya ke seluruh Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram