Bermula kerja sambilan jual alat gantian di Facebook, bekas juruteknik kini buka bengkel kereta 'pakar absorber' di Kota Tinggi


  • Bizz
  • Rabu, 04 Dis 2024

Mohd Nazreen (gambar kiri) memulakan bengkel Mr Absorber Kota Tinggi pada Disember 2022.

SELAMA sembilan tahun, Mohd Nazreen Rosdin bertugas sebagai juruteknik di sebuah pusat beli belah utama di Johor Bahru, Johor.

Bagaimanapun, pada 2019, dia yang juga lulusan diploma kejuruteraan mekanikal daripada Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan mengambil keputusan berniaga sambilan dengan menjual peralatan kereta secara dalam talian di Facebook.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari pendapatan lebih bagi keluarganya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Antara yang dijual secara dalam talian adalah minyak enjin dan alatan suspensi.

Pada waktu itu, Mohd Nazreen yang menetap di Kota Tinggi bersama keluarganya mendapatkan bekalan alatan daripada pengedar tempatan yang dihubunginya di media sosial.

"Bila kita jumpa Facebook pengedar, kita terus cuba tanya dia macam mana kalau kita nak tolong jual barang dia.

"Waktu itu pembekal kebanyakannya ada di belah Lembah Klang. Jadi bila dah berhubung di media sosial, kita cuba jumpa dan dah puas hati baru ambil barang daripada mereka," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-11-28 at 14.20.46

Bengkel diusahakan Mohd Nazreen memberikan fokus terhadap bekalan alat gantian tertentu kenderaan.

Tanpa disangka-sangka, barangan kereta yang dijualnya mendapat permintaan cukup tinggi daripada pengguna di sekitar Johor.

"Anggaran masa itu saya boleh dapat RM20,000 sebulan," ujarnya.

Nilai pendapatan itu diperoleh daripada anggaran jualan bulanan kira-kira 60 botol minyak enjin dan 60 unit suspensi.

Selepas hampir tiga tahun menjalankan perniagaan secara dalam talian, permintaan menggalakkan daripada pelanggan itu kemudiannya mendorong Mohd Nazreen untuk membuka bengkel kereta di Kota Tinggi.

Malah, dia dan isterinya, Nurul Ain Ahmad Mohamad, 33, yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai bank juga mengambil keputusan besar berhenti kerja bagi menumpukan terhadap perniagaan bengkel kereta yang mula beroperasi pada Disember 2022.

6215218252188079696

Mohd Nazreen (kanan) dan isterinya, Nurul Ain.

Berbeza dengan kebiasaan, bengkel diusahakan pasangan tersebut yang dikenali sebagai Mr Absorber Kota Tinggi memberikan tumpuan terhadap jualan dan pembaikan alat ganti seperti alatan suspensi dan absorber atau penyerap hentakan.

"Saya tumpukan pada jualan 'absorber' kerana tiada bengkel yang fokus jual absorber dan suspensi sahaja di kawasan saya.

"Jadi bila kita fokus terhadap sesuatu alatan, kita akan jadi pakar dan pelanggan lebih percaya dengan kita," katanya.

Menurut Mohd Nazreen, dia mengeluarkan modal awal sekitar RM30,000 untuk membuka bengkel tersebut dengan berbekalkan wang simpanan mereka bersama.

"Kita buka bengkel ini pun sebenarnya atas permintaan orang ramai.

"Jadi atas dasar kepercayaan terhadap pelanggan itulah kita percaya terhadap risiko kita ambil ini," ujarnya yang berasal dari Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi.

Selain memerlukan modal permulaan yang agak tinggi khususnya dalam penyediaan alatan, Mohd Nazreen mengakui, mereka turut berdepan dengan cabaran daripada persaingan bengkel lain dan juga untuk mencari mekanik berkemahiran.

Operasi Mr Absorber Kota Tinggi kini disokong oleh empat mekanik yang turut terdiri daripada seorang mekanik kanan.

WhatsApp Image 2024-11-28 at 14.20.45

Mohd Nazreen bergambar di dalam bengkelnya yang terletak di Kota Tinggi.

Pada waktu ini, Mohd Nazreen yang juga bapa kepada dua cahaya mata berkata, pendapatannya di bengkelnya kini sebahagian besarnya disumbangkan daripada jualan alat gantian seperti absorber dan spring kenderaan.

Katanya, setakat November tahun ini, bengkelnya juga berjaya mencatatkan pendapatan tahunan mencecah RM1.5 juta.

Bergerak ke hadapan, Mohd Nazreen berkata, dia kini sedang dalam perancangan untuk membuka satu cawangan baharu di Johor Bahru.

Ujarnya, langkah itu diambil selepas mengambil kira maklum balas yang diperolehi daripada pelanggan.

"Di bengkel sekarang ini pun ramai pelanggan yang datang daripada Johor Bahru.

"Kemudian di Johor Bahru pun daripada segi populasi lebih tinggi berbanding Kota Tinggi. Jadi di situ kita lihat peluang untuk tarik lebih ramai pelanggan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram