
MULA bertapak dalam industri fesyen sejak dua dekad lalu, jenama pakaian Variante sentiasa menjadi pilihan pengguna wanita yang meminati busana dengan sentuhan sofistikated dan elegan.
Di sebalik kemunculan banyak jenama baharu dalam pasaran tempatan, ia tidak menghalang daripadanya untuk terus kekal relevan.
Malah, pengasas Variante, Leslie Variyan, tidak menganggap situasi itu sebagai halangan.
Malah, cabaran tersebut mendorong beliau terus komited dan konsisten mengeluarkan koleksi fesyen mengikut signatur rekaan minimalis, praktikal dan ideal untuk digayakan dalam apa jua situasi.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Berbekalkan pengalaman dalam bidang peruncitan lebih 14 tahun, anak jati kelahiran Jasin, Melaka itu juga seakan-akan sudah cukup memahami kehendak dan cita rasa sebahagian besar pelanggan yang selesa menyarungkan persalinan mengikut kesesuaian cuaca di Malaysia.
Menerusi segmen Q&A, pereka fesyen berusia 52 ini tahun berkongsi mengenai falsafah, prinsip dan kegemaran peribadi.
Apa yang menarik mengenai Variante?
Variante buat wanita sederhana yang menginginkan gaya glamor, bagi yang mahu berpenampilan istimewa supaya tampak fantastik. Variante kekal klasik - dulu, kini dan selamanya.
Momen yang membanggakan anda setakat ini?
Leslie Variyan
Melihat rekaan saya diterima ramai bukan sahaja di Malaysia, malah di negara jiran.
Gambarkan cita rasa fesyen masyarakat di Malaysia. Dengan pengaruh media sosial, saya dapati cita rasa fesyen masyarakat tempatan hari ini semakin tinggi.
Apakah yang membuatkan hidup anda gembira?
Mendapat sokongan dan dikelilingi rakan-rakan.
Anda takut kepada...?
Sejujurnya, saya tiada rasa takut kerana sentiasa bersedia mengharungi cabaran dan percaya pada jalan yang disusun Tuhan.
Apakah yang membuatkan seseorang wanita itu cantik?
Yakin pada diri. Ia bukan sahaja menyerlahkan kecantikan, bahkan membuatkan wanita tampak lebih menarik.
Kata-kata seseorang diingati sehingga hari ini?
Ungkapan daripada bekas majikan ketika saya berkhidmat selama 14 tahun dalam bidang peruncitan, “Tiada apa yang menarik, tiada wow factor.”
Beliau berkata, demikian semasa hadir ke pembukaan butik saya yang pertama. Pun begitu, saya tidak terasa hati, sebaliknya bait-bait kata itu menjadi pendorong untuk buktikan bahawa saya mampu menyuntik elemen wow factor terhadap apa sahaja perkara yang diusahakan.
Jenama jam tangan paling diminati?
Rolex kerana reka bentuknya, kualitinya dan nilai eksklusifnya.
Antara New York, Milan, Paris dan London, kota fesyen mana kesukaan anda?
Saya sudah mengunjungi keempat-empat kota ini. Masing-masing mempunyai tarikan tersendiri. Namun, saya lebih meminati New York kerana apa sahaja stail dipaparkan dalam drama misalnya, begitulah realiti pemakaian masyarakat di sana. Kita dapat lihat depan mata.
Jika diberi peluang, siapakah bilionair yang ingin anda luangkan masa bersama?
Pengasas rangkaian jenama Zara, Amancio Ortega, berada dalam senarai teratas. Saya ingin bertemu dan mendengar kisah kejayaan beliau.
Leslie bersama pakaian yang dikeluarkan jenamanya.
Material sutera atau renda?
Fabrik sutera kerana warnanya bersifat natural manakala teksturnya sangat indah dan mewah.
Kata-kata kegemaran anda?
Hope is not a strategy.
Apakah perkara paling sukar dalam pekerjaan anda?
Saya tidak berasakan ia sukar kerana sudah terbiasa dan bersedia berdepan pelbagai dugaan. Cabaran itu mendewasakan.
Apakah tiga item wajib ada di dalam almari wanita?
Kemeja putih, dres hitam dan kasut tumit tinggi yang cantik.
Warna yang membosankan?
Tiada satu pun membosankan. Saya sukakan semua warna.
Jenama haruman diminati?
Silver Mountain by Creed kerana baunya sesuai dengan personaliti saya.
Siapakah idola anda dalam dunia fesyen?
Saya mengagumi Valentino kerana konsisten menghasilkan rekaan yang memukau.
Siapakah model antarabangsa paling ideal untuk Variante?
Sudah tentu Naomi Campbell. Selain cantik, pembawakan dirinya di atas pentas juga sangat wow!
Impian yang masih belum tercapai?
Mengembara ke seluruh dunia.
Gambarkan jenama Variante untuk dua dekad akan datang?
Menjadi sebuah jenama besar seperti Zara yang dikenali seantero dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram