PERJALANAN membangunkan sesuatu perniagaan bukan satu tugas yang mudah.
Tugas berkenaan pastinya menjadi bertambah sukar sekiranya seseorang usahawan itu memiliki lebih daripada satu bisnes.
Namun, cabaran sedemikian sama sekali tidak melunturkan semangat Wan Ahmad Afiq Noordin, yang dikenali sebagai pengasas kepada jenama produk sambal tempatan iaitu Cili Lado.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Selain membangunkan produk makanannya itu yang dimulakan sejak 2020, Afiq Noordin, 32, yang merupakan graduan undang-undang daripada Multimedia University (MMU) Cawangan Melaka turut mempunyai sebuah lagi perniagaan tempahan pakaian, Epic Store.
Bisnes terbabit diasaskan hampir 10 tahun lalu iaitu pada 2015 bersama rakan-rakan sepengajiannya ketika belajar universiti.
Pada tahun tersebut, mereka turut membuka sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan mencetak pakaian seperti t-shirt dan jersi kepada pelajar.
"Waktu itu kita buat cetak baju sebab permintaan dalam kalangan pelajar MMU itu sendiri tinggi.
"Waktu itu mereka ada persatuan dan pasukan aktiviti sukan pun banyak," katanya yang memainkan peranan daripada segi pemasaran bagi perniagaan tersebut.
Cili Lado Sambal Minang Merah antara dua produk yang dikeluarkan Afiq Noordin. — Cili Lado
Kini selepas lebih sembilan tahun beroperasi, bisnes berkenaan sudah semakin stabil dengan ia kini turut dijalankan sepenuhnya secara dalam talian tanpa sebarang premis.
Meskipun masih memiliki kepentingan terhadap bisnes berkenaan, Afiq Noordin berkata, dia kini bagaimanapun mula memberikan lebih fokus terhadap perniagaan produk sambal Cili Lado yang dimulakannya sejak kira-kira empat tahun lalu semasa pandemik Covid-19.
Mula bisnes sambilan daripada resipi kakak ipar
Afiq Noordin yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor, berkata, idea memulakan Cili Lado tercetus ketika dia terperangkap dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Ketika itu, menurutnya, dia juga sudah bekerja sebagai pegawai penyelidik di organisasi pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
"Puncanya sebab masa itu saya tidak dapat balik Sungai Buloh. Jadi waktu itu saya mengidam sambal yang kakak ipar saya biasa.
"Bila dah lama sangat, dia pun hantar sambal dekat saya di Melaka. Masa dia hantar dalam bekas itulah timbul idea kenapa saya tak jual juga sambal itu.
"Jadi, lepas itu saya pun minta dia buat dan saya yang jual sambal itu secara sambilan," ujarnya kepada Majoriti.
Menurut Afiq Noordin, resipi sambal berkenaan sememangnya asli daripada keturunan Minang memandangkan kakak iparnya itu sendiri berasal dari Sumatera, Indonesia.
Pada peringkat awal, dia berjaya menjual antara 200 ke 500 botol sambal Cili Lado di pejabatnya.
Afiq Noordin ketika membuat siaran langsung jualan produk Cili Lado.
Dengan permintaan semakin meningkat, Afiq Noordin berkata, dia kemudiannya turut belajar untuk membuat sambal Cili Lado sendiri daripada kakak iparnya dengan menggunakan ruang belakang rumahnya sebagai dapur.
Dalam tempoh berkenaan, dia juga mula memasarkan produknya di media sosial.
"Tapi waktu itu saya masih hadkan kapasiti pengeluaran kepada 200 botol sebulan.
"Sebab masa itu bisnes ini bukan kerja utama saya. Jadi biasanya saya akan masak pukul 3 pagi sampai 7 pagi.
"Lepas itu pukul 8 saya pergi kerja," kongsinya.
Selepas hampir tiga tahun beroperasi dari rumah, Afiq Noordin yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata kemudiannya memperoleh peluang selepas mendapat tawaran geran untuk mengembangkan perniagaannya.
Pada 2023, dia akhirnya berjaya membuka sebuah kilang produk sambalnya di Melaka yang berkeluasan 235 meter persegi dengan peningkatan kapasiti pengeluaran kepada 2,000 hingga 5,000 botol sebulan.
Ujarnya, pengembangan terbabit dibantu dengan geran bernilai RM20,000 daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia menerusi program Agropreneur Muda.
Dengan pembukaan kilang terbabit yang turut dibangunkan dengan khidmat nasihat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dia juga mengambil keputusan berhenti daripada kerja tetapnya bagi memberikan fokus terhadap perniagaan terbabit.
Tidak cukup dengan itu, produk Cili Lado pada tahun ini turut menarik perhatian daripada kilang Pusat Memproses Makanan FAMA di Rengit, Melaka yang mempelawa untuk membantu mengeluarkan produknya, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada mencecah 10,000 unit sebulan.
"Perkembangan ini sangat positif kerana pusat pengeluaran ini mempunyai antaranya sijil Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Perkilangan Baik (GMP)," ujarnya.
Dalam pada itu, Afiq Noordin mengakui persaingan produk sambal di pasaran tempatan sememangnya agak tinggi dan memberikan cabaran.
Cili Lado mula membuka kilang pada 2023. — Cili Lado
Namun, menurutnya, beliau percaya, produk Cili Lado dilihat mempunyai keunikan tersendiri yang boleh memenuhi segmen citarasa tertentu dalam kalangan pengguna yang tidak dimiliki oleh produk lain di dalam pasaran.
"Sebabnya sambal Cili Lado memang tak pedas langsung dan kita juga tak letak gula.
"Kemudian yang lebih menarik, aromanya juga boleh membuatkan pengguna terliur untuk makan.
"Jadi kita cuba penuhi segmen pengguna yang hendak kepada citarasa sambal sebegini," ujarnya.
Pada waktu ini, Cili Lado mempunyai dua variasi sambal iaitu Sambal Minang Merah dan Sambal Minang Hijau dengan ia boleh diperolehi melalui pesanan di platform Shopee.
Cuba teroka pasaran luar
Bergerak ke hadapan, Wan Ahmad Afiq Noordin berkata, dia merancang menjalinkan kolaborasi dengan lebih banyak perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) berasakan makanan untuk bekerjasama menggunakan kilangnya untuk mengeluarkan produk mereka.
Pada waktu ini, terdapat satu kerjasama berjaya dihasilkan iaitu menerusi produk makanan popia sambal yang dikenali sebagai Cili Lado Kropia Sambal.
Selain itu, menerusi kerjasama dijalinkan bersama EZ Qurban dalam kembara ibadah korbannya di Afrika, katanya, Cili Lado turut melihat potensi permintaan terhadap produk sambal di benua terbabit.
"Semasa raya haji pada tahun ini, saya dapat bersama pasukan EZ Qurban pergi ke Guinea untuk melaksanakan ibadah korban di sana.
"Pada masa sama, kami ambil kesempatan perkenalkan produk kami di sana dan ia mendapat respons cukup positif," ujarnya.
Dengan pendedahan tersebut, Afiq Noordin berkata, dia melihat peluang untuk mengembangkan produk mereka di benua tersebut termasuk di beberapa negara lain yang sudah mula menunjukkan permintaan terhadap produk Cili Lado antaranya di Jepun dan Brunei.
Kapasiti pengeluaran di kilang Cili Lado boleh mencecah sehingga 10,000 botol sebulan. — Cili Lado
"Saya rasa saingan saya dah terlalu ramai di Malaysia. Jadi saya rasa ada potensi untuk bawa produk kita ke luar negara.
"Sebab di negara mereka tidak ada sambal. Yang ada hanya belacan atau sambal tumbuk.
"Jadi bila ada produk macam ini, mereka rasa ini satu inovasi baharu," ujarnya.
Bagaimanapun, untuk memulakan langkah mengeksport tersebut, Afiq Noordin berkata, mereka terlebih dahulu perlu memenuhi keperluan mendapatkan siji halal yang dijangka akan berjaya diselesaikan pada 2025.
"Kita bukan tak mahu fokus pasaran di Malaysia. Cuma bagi saya di saingan dan pasaran.
"Pada masa sama, ada juga sebenarnya produk Malaysia yang tak berapa dikenali di dalam negara, tapi sangat hebat di luar negara seperti Dubai dan India.
"Jadi saya rasa kita kena cuba," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai motivasi mendorongnya untuk terus konsisten menguruskan dua perniagaan dalam satu masa, beliau berkata, langkah itu dilakukan kerana merasakan dirinya masih belum mencapai tahap kejayaan yang diinginkan.
Malah, dia juga menjadikan beberapa tokoh perniagaan di dalam negara antaranya Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan pemilik rangkaian pasar raya tempatan, Datuk Ameer Ali Mydin.
"Saya terus lakukan ini sebab saya rasa belum benar-benar berjaya.
"Kemudian kita tengok tokoh-tokoh perniagaan seperti Syed Mokhtar Albukhary dan Datuk Ameer Ali Mydin pun dia buat banyak bisnes.
"Dia bukan ada satu cabang perniagaan sahaja. Jadi kita cuba contohi perkara itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram