SEORANG lelaki dipercayai kerugian ribuan ringgit selepas cermin kereta miliknya dipecahkan oleh individu tidak dikenali di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melalui satu video tular yang dimuat naik di laman Facebook sejak Ahad, kejadian itu dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Video tersebut dirakam mangsa setelah berlaku pertengkaran kecil antara mangsa dengan pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Axia.
BACA LAGI: Menantu contoh bergadai nyawa harungi banjir 100 meter di Paka demi bapa mentua lumpuh
BACA LAGI: [VIDEO] Kes langgar doktor, anak di Kluang, remaja berdepan hukuman 5 tahun penjara
Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan penumpang tersebut keluar dari kenderaannya dan merakam muka mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wang Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 26 November lalu berhubung kes khianat hingga menyebabkan kerosakan pada sebuah kenderaan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 1.41 pagi itu, pengadu seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun yang memandu kenderaan jenis Proton Wira telah dihimpit kereta jenis Perodua Axia yang cuba memasuki laluan pengadu.
"Pengadu kemudian membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu tersebut bagi mengelak berlanggaran.
"Semasa kedua-dua kenderaan berhenti di lampu isyarat berdekatan Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, suspek telah keluar dari kenderaan dan bertindak menumbuk cermin kanan kenderaan pengadu.
"Suspek juga menendang pintu kiri hingga kemek dan menyebabkan cermin retak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, dua lelaki tempatan masing-masing berumur 35 dan 39 tahun ditangkap pada Ahad dan permohonan reman dibenarkan oleh majistret selama tiga hari sehingga Rabu.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram