ISTERI kepada seorang guru yang pernah tular dengan kisahnya berpindah lokasi bertugas, Izzudin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din dilaporkan meninggal dunia pada Isnin.
Berita tersebut dikhabarkan oleh adik arwah Nur Atiqah Yusoff menerusi akaun Facebook Izzuwan Yusoff pada Selasa.
"Al-Fatihah. Bagi sesiapa yang mengenali adik saya, Nur Atiqah Yusoff, beliau menghembuskan nafas terakhir terakhir semalam (Isnin).
"Mohon maafkan salah silap beliau, halalkan makan minum, kalau arwah ada hutang boleh beritahu saya. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.
BACA LAGI: 'Isteri yang sakit, bukan awak', rakan guru sedih pihak atasan tolak permohonan Cikgu Din tukar sekolah jaga pasangan sakit kanser
Pada Oktober lalu, kisah Cikgu Din yang berdepan dengan cabaran untuk menukar sekolah ke Semenanjung demi menjaga isterinya yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat menjadi perhatian.
Guru yang bertugas di Sarawak pada awalnya itu juga dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri serta membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.
Selepas beberapa hari kisah itu tular di media sosial, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudian meluahkan rasa prihatin berhubung situasi guru lelaki yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya.
KPM justeru mengambil tindakan segera memberi bantuan kepada guru berkenaan termasuk diberikan cuti untuk berada bersama isterinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram