Tahap penguasaan UASA diubah kepada peratus, gred mulai tahun ini — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Isnin, 18 Mac 2024

Fadhlina Sidek berkata laporan penilaian berasaskan bilik darjah (PBD) akan dipermudahkan dan boleh diakses dalam talian oleh ibu bapa melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.

SISTEM tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) akan dilakukan menggunakan peratusan dan struktur gred mulai tahun ini, kata Fadhlina Sidek.

Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai maklum balas ibu bapa, guru dan pihak berkepentingan lain mengenai kurikulum semasa yang menjadi isu.

Beliau juga berkata, laporan penilaian berasaskan bilik darjah (PBD) akan dipermudahkan dan boleh diakses dalam talian oleh ibu bapa melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu.

“Laporan tahap penguasaan PBD akan dipermudahkan manakala laporan tahap penguasaan UASA bagi semua mata pelajaran akan ditukar kepada bentuk peratusan dan gred,” katanya pada Isnin.

BACA LAGI : Lapor jika bantuan persekolahan dipotong — Fadhlina Sidek

Tambah beliau lagi, bagi murid darjah satu akan menjalani program pengesanan literasi dan numerasi untuk mengenal pasti mereka yang belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Langkah lain yang diumumkan Fadhlina termasuk Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu.

“Penjajaran kurikulum melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran untuk pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu sedia ada,” katanya.

BACA LAGI : 400,000 murid ada masalah pembelajaran 3M, ibu bapa rasa guru lemah ajar subjek teras

Tahap Satu merangkumi Tahun Satu hingga Tiga.

Fadhlina berkata, dokumen itu disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap Satu.

Beliau berkata kementerian memberi tumpuan kepada Sains dan Matematik buat masa ini, dengan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris seterusnya.

Tambahnya, maklumat itu akan disebarkan kepada semua guru Sains dan Matematik sekolah rendah melalui bengkel dan latihan.

“Ini adalah intervensi kepada kurikulum semasa untuk kita mengimbangi dan memberi ruang kepada guru, ibu bapa dan murid untuk menguasai (mata pelajaran), khususnya Matematik dan Sains,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa kurikulum baharu hanya akan bermula pada 2027.— TheStar/ REBECCA RAJAENDRAM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram