Pelajar hadapi kekangan kewangan boleh mohon biasiswa di Sekolah Anak Malaysia


  • Massa
  • Ahad, 17 Nov 2024

Pelajar SAM membuat persembahan semasa pembelajaran bersemuka yang dijalankan selama empat minggu.

PELAJAR yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran kini boleh memohon biasiswa untuk mendaftar di sekolah digital pertama negara, Sekolah Anak Malaysia (SAM) yang berasaskan kurikulum Malaysia.

Pengerusi LeapEd Services, Shahnaz Al-Sadat berkata, pembelajaran di SAM dilaksanakan 80 peratus secara dalam talian, manakala baki 20 peratus dijalankan secara bersemuka.

“Kami ingin (pelajar di) SAM bukan hanya untuk mereka yang mampu membayar, tetapi juga yang memerlukan manfaat daripada sekolah ini tetapi menghadapi kekangan kewangan,” katanya semasa pelancaran sekolah itu pada 22 Ogos lalu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

WhatsApp Image 2024-11-17 at 18.53.35

Shahnaz berkata, kerjasama memainkan peranan utama dalam memastikan sekolah tersebut dapat dilaksanakan.

Sekolah tersebut kini mempunyai 34 pelajar, dengan kira-kira 80 peratus daripada mereka menerima biasiswa, manakala selebihnya yang membayar sendiri.

“Salah satu matlamat kami di SAM adalah untuk mempersiapkan anak-anak bukan hanya untuk peperiksaan tetapi juga bagaimana mahu menghadapi kehidupan di luar,” katanya yang juga merupakan pengarah urusan sekolah tersebut.

SAM merupakan sekolah digital pertama di negara ini, dengan kurikulum dan kaedah pengajaran direka khas untuk persekitaran digital bagi memastikan fleksibiliti, interaktiviti dan pertumbuhan individu pelajar.

Penubuhan sekolah berkenaan adalah hasil daripada kajian LeapEd bertajuk 'Post-Covid Education Recovery in Malaysia', yang mengenal pasti keperluan mendesak untuk merapatkan jurang pembelajaran.

Hasil kajian tersebut antaranya mengenal pasti 50 hingga 85 peratus pelajar menghadapi kesukaran untuk membaca dan menulis, walaupun 85 hingga 90 peratus guru menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan kehilangan pembelajaran pasca-Covid-19.

Sementara itu, Shahnaz berkata, walaupun sistem pendidikan Malaysia menghadapi cabaran yang besar, peluang yang lebih besar terletak pada usaha kolektif pihak berkaitan untuk menanganinya.

“LeapEd bukan hanya bertindak balas terhadap keperluan sementara, tetapi berharap dapat meletakkan asas untuk transformasi pendidikan yang berterusan.

“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan organisasi masyarakat sivil untuk menangani isu segera defisit pembelajaran dan dalam masa sama berusaha memastikan pendidikan berkualiti jangka panjang,” tambahnya.

Menerangkan sekolah itu sebagai 'institusi swasta tetapi untuk perkhidmatan awam', Shahnaz menekankan bahawa mereka menyasarkan golongan B40 dan M40 rendah.

Menurutnya, kerjasama memainkan peranan utama dalam memastikan sekolah tersebut dapat dilaksanakan.

"LeapEd bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk menyediakan pembiayaan bagi kurikulum yang berkaitan dengan industri dan memberikan biasiswa.

"LeapEd juga telah menjalin perkongsian strategik dengan 21K School, sekolah dalam talian terkemuka di Asia, untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti tinggi dan relevan.

"Selain itu, kerjasama juga dijalinkan bersama Pusat Sejahtera untuk Kemampanan dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, bagi menyediakan sokongan tempat tinggal dan kemudahan semasa pelajar mengikuti pembelajaran bersemuka selama empat minggu.

"Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia juga merupakan rakan kongsi kokurikulum nasional organisasi ini," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram