[VIDEO] Harumkan nama Malaysia, penerbit ambil peluang tayang warisan budaya, sejarah negara kepada dunia


  • Massa
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Rosli (tengah) ketika melakukan penggambaran dokumentarinya 'Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga Terakhir' di Sarawak.

TERPILIH sebagai wakil Malaysia untuk berkongsi pengalaman penerbitan dokumentarinya sempena Festival Filem Dokumentari Antarabangsa 'Walk The Doc 2024' pada 21 November lalu, Rosli Mohd Nordin berkesempatan memperkenalkan karya-karya yang dihasilkan daripada negara lain.

Rosli yang juga merupakan alumni Universiti Malaya (UM) dan Penerbit serta Pengarah Dokumentari Malaysia itu berpeluang menjadi moderator dalam satu sesi di festival tersebut di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Baginya, tugas sebagai moderator bukan sahaja mengendalikan tayangan, malah perlu mengulas dan berkongsi pengalaman menarik dokumentari-dokumentari itu.

BACA LAGI: 'Rombak silibus kayangan, scrap soalan KBAT', ramai kurang setuju kenyataan KPM mahu mansuhkan peperiksaan

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal ujian kali kedua, roket Epsilon S Jepun meletup 49 saat lepas berlepas

6210904812237735253

Rosli sebagai moderator ketika tayangan dokumentari di festival tersebut.

Beliau yang juga berpengalaman sebagai wartawan penyiaran dan penerbit tidak terkecuali menayangkan hasil dokumentarinya bertajuk Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga Terakhir.

"'Ia merupakan projek tahun akhir bagi saya ketika melanjutkan pengajian Sarjana Pengajian Media di UM.

"Dokumentari ini pernah mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih sebagai pemenang bagi Kategori Audio Visual Program Kreatif Cemerlang-Dokumentari Pendek sempena Pameran Pertukaran Video Pendek Pelajar-pelajar Negara Asia 2022 anjuran Jilin Animation Institute, Jabatan Informasi Wilayah Jilin dan Persatuan Budaya Antarabangsa Wilayah Jilin, China.

"Dalam dokumentari ini, banyak warisan budaya, sejarah dan alam semula jadi yang pupus dan tidak dapat disaksikan lagi.

"Jadi, penerbitan dokumentari amat penting bagi merakam pelbagai subjek yang boleh beri impak tersendiri bagi membina tamadun, budaya bangsa dan pada masa sama mampu jadi rujukan serta dokumentasi pelbagai pihak," katanya kepada Majoriti.

Selain mengulas tentang dokumentarinya, Rosli juga berkongsi antara pengisian menarik daripada tayangan dokumentari yang diterbitkan oleh China Global Television Network (CGTN) dan Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB).

Katanya, dokumentari berjudul Race to the Future dihasilkan CGTN itu membawa masyarakat meneroka cara bagaimana penduduk di China masih menerapkan adat dan tradisi mereka.

"Meskipun hidup dalam dunia yang semakin moden, mereka masih memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan secara tradisional.

"Dokumentari itu juga menggambarkan bagaimana generasi muda yang terdedah kepada teknologi dan kehidupan urban tetap menghargai dan mengamalkan adat tradisi dalam melangsungkan perkahwinan.

"Menariknya, walaupun kehidupan mereka semakin maju dengan pelbagai kemudahan moden, mereka memilih untuk kembali kepada akar budaya mereka dalam satu acara yang penuh dengan makna dan simbolik," ulasnya.

Jelasnya lagi, dokumentari itu turut menunjukkan bagaimana elemen-elemen tradisional seperti perarakan, adat berpakaian dan tradisi upacara tertentu terus bertahan sekali gus menyuntik dimensi baharu dalam kehidupan serba moden.

Katanya, dokumentari itu memang bagus untuk ditonton masyarakat pada hari ini supaya dapat mengambil iktibar bahawa betapa pentingnya tradisi dan kemodenan boleh bergerak seiring.

"Orang ingat bila kita makin maju, makin moden, kita perlu melupakan atau mengabaikan elemen tradisi budaya kita," katanya merujuk kepada sikap masyarakat pada hari ini yang semakin melupakan elemen tersebut.

Selain itu, Rosli juga berkongsi tentang dokumentari diterbitkan oleh IRIB yang memberi fokus kepada sejarah dan peradaban Iran, terutamanya tentang tokoh-tokoh berpengaruh dalam sejarah negara tersebut.

Dokumentari itu membawa penonton mendalami perjalanan panjang tamadun Iran, kekayaan budaya yang bertahan sepanjang zaman serta pengaruh tokoh-tokoh besar yang memberi kesan mendalam terhadap perkembangan negara dan masyarakat di negara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram