Anggota tentera maut lemas, seorang hilang di Hutan Royal Belum


  • 112
  • Isnin, 02 Dis 2024

Seorang tentera dilaporkan maut manakala seorang lagi masih hilang di Hutan Royal Belum pada Isnin. — Gambar hiasan

POLIS Gerik mengesahkan penemuan mayat seorang anggota tentera dipercayai lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas cuba menyeberangi sungai ketika gerakan operasi di Hutan Royal Belum, Perak pada Isnin.

Mangsa yang ditemukan lemas dikenal pasti sebagai Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin, 20-an, manakala Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, 20-an dilaporkan masih hilang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, laporan berhubung insiden itu diterima pukul 8.56 pagi Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Siap buat U-turn, polis buru suspek ragut rantai leher penunggang wanita di Kuala Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Selepas 2 tahun, pemandu X50 merah kembali jadi pembuli jalan raya di Pulau Pinang

Katanya, hasil siasatan awal mendapati dua mangsa berkenaan bersama tujuh lagi anggota tentera yang lain cuba menyeberang Sungai Merah kira-kira pukul 6 petang Jumaat lalu, namun dua mangsa berkenaan gagal menyeberangi sungai tersebut dengan keadaan arus deras.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, dua lelaki terbabit dipercayai lemas di kawasan Royal Belum semasa menjalankan tugas gerakan Operasi Kota Echo/Foxtrot.

"Susulan itu penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Satu mangsa sudah ditemui meninggal dunia akibat lemas, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui," katanya dalam kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram