
SIAPA sangka desakan ibu mampu membawa perubahan besar dalam hidup seorang atlet berbasikal bukit (MTB) negara.
Atlet wanita bernama Nurzarina Mohammad Zaki ternyata mula bergiat aktif dalam bidang sukan itu sejak 2019.
Berkesempatan berkongsi tentang perjalanan awalnya, gadis berusia 21 tahun itu memaklumkan bahawa peristiwa pada 2019 berlaku selepas ibunya, Haslinda Abu Hanifah, 41, melihat keadaan fizikalnya yang kelihatan berisi.
BACA LAGI: Boleh diiktiraf MQA, Gen AI kini jadi bukti kursus penting naik taraf pendidikan Malaysia
Nurzarina mula aktif dalam sukan berbasikal bukit sejak 2019. — Instagram/Nurzarina
Menyedari keadaan fizikal anaknya itu, Haslinda yang juga seorang penggemar sukan memberikan cadangan untuk menggalakkan anaknya mengamalkan aktiviti berbasikal.
Tanpa disangka, desakan ibunya itu membawa kepada titik perubahan yang besar dalam kehidupan Nurzarina.
Dia yang ketika itu baru 16 tahun bagaimanapun tidak berasa berat badannya akan memberi kesan atau masalah baginya.
"Berat pada waktu itu 55 kilogram (kg), tidaklah berat sangat, tetapi nampak berisi. Jadi, atas saranan ibu, saya mula berbasikal sambil ditemani ayah, Mohammad Zaki Buang, 51.
"Biasanya, kami berkayuh di litar luar jalan raya berdekatan kediaman di Beranang, Selangor.
"Selepas dua minggu, saya cuba sertai pertandingan jamboree di Perak dengan jarak 35 kilometer (km) dan tidak sangka dapat menaiki podium di tangga kelima,” katanya yang kini memiliki berat badan sekitar 48kg.
Pelajar Diploma Pengurusan Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu juga mendedahkan, bermula sejak itu, beliau mulai aktif mewakili Wilayah Persekutuan dalam pelbagai pertandingan termasuk Sukan Malaysia (Sukma).
Anak sulung daripada empat beradik itu menjelaskan bahawa sebanyak lebih 20 pertandingan disertainya sebelum mewakili negara dalam sukan berkenaan pada 2022.
Nurzarina juga mewakili UiTM dalam kejohanan SUKIPT. — Instagram/Nurzarina
"Kejohanan pertama adalah Kejuaraan Dunia di Perancis tetapi saya hanya mampu meraih tempat ke 55. Ia terlalu mencabar kerana perlu berdepan atlet bertaraf dunia.
"Selepas itu, saya sertai Kejohanan Benua Asia di Korea Selatan dan India. Di peringkat ini, saya berada tempat ketujuh dan ia adalah pencapaian terbaik," jelasnya yang turut memenangi 10 kejuaraan di peringkat kebangsaan.
Mengidolakan atlet berbasikal dari Switzerland, Jolanda Neff, Nurzarina berkata, penyertaan pertama di peringkat dunia berjaya membuka matanya untuk berusaha lebih keras demi mengharumkan nama negara.
"Saya alami kecederaan pada muka akibat terjatuh selepas melalui cabaran berbasikal di Perancis. Kecederaan ini berlaku semasa latihan rasmi sebelum pertandingan.
"Saya terjatuh bukan disebabkan gementar, sebaliknya keadaan litar yang jauh lebih mencabar. Litar luar negara banyak halangan, lebih banyak berbatu, kayu balak, akar lebih besar.
"Jadi, bagi saya yang tidak pernah berdepan situasi sedemikian, insiden itu secara tidak langsung mendorong saya berusaha lebih keras," ujarnya.
Ditanya pula tentang sasaran terdekatnya dalam sukan berkenaan, Nurzarina menyimpan hasrat untuk memenangi pingat pada Sukan Universiti Asean 2026 yang bakal berlangsung di Malaysia.
Mengakui bukan selamanya boleh beraksi dalam sukan berkenaan, Nurzarina pada 2023 mula berfikir untuk menyambung pengajian sebagai persediaan masa hadapan.
"Jangka hayat untuk beraksi di peringkat tertinggi mungkin sehingga awal 30-an sahaja. Jadi, apa yang berlaku selepas itu perlu dirancang lebih awal.
"Oleh itu, saya menyambung pengajian di UiTM sejak Mac lalu. Jadi, rutin latihan juga sudah berubah apabila berlatih hujung minggu sahaja," jelasnya yang berhasrat menjadi pegawai sukan selepas bersara dalam arena MTB kelak.
Nurzarina juga aktif menyertai sukan peringkat universiti dan mewakili UiTM dalam acara berbasikal ketika kejohanan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram