
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mempertimbangkan penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan cuaca buruk dan banjir yang melanda negara ketika ini.
Permintaan itu disuarakan pelbagai pihak yang bimbang kesan buruk terhadap calon SPM yang terjejas terutamanya di kawasan Pantai Timur, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Walaupun Menterinya, Fadhlina Sidek sudah mengeluarkan kenyataan calon SPM mempunyai kebenaran menduduki di mana-mana pusat peperiksaan pada Isnin, namun ia bukanlah satu penyelesaian yang terbaik.
BACA LAGI : : [VIDEO] Pesawat latihan terhempas, 2 juruterbang termasuk kapten wanita maut di Ecuador
BACA LAGI : [VIDEO] Penduduk Tumpat 'mengamuk', tahan lori redah air banjir lepas rosakkan tembok banjir
Ini kerana, situasi banjir yang tidak menentu terus memberi kesan yang mendalam kepada pelajar, guru, dan keluarga yang terlibat.
Seorang pengguna media sosial, Nur Ilyani Mohamed Nawawi, meluahkan kebimbangannya terhadap keadaan mangsa banjir yang menghadapi tekanan besar.
"Keadaan hujan lebat serta banjir yang tidak terkawal ini akan mendatangkan kesan mental dan fizikal yang mendalam kepada mangsa, terutamanya calon SPM," katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial, Misi Aini, turut merayu kepada KPM untuk mempertimbangkan penangguhan tersebut.
"Yang berhormat (Fadhlina) sendiri dah turun padang dan melihat keadaan mangsa.
"Mohon YB pertimbangkan untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM 2024 ditangguhkan. Untuk masa akan datang, jadual SPM perlu dipinda ke bulan Oktober bagi mengelakkan isu banjir setiap hujung tahun," tulisnya.
Fadhlina ketika melawat salah sebuah pusat operasi PPS di Kelantan baru-baru ini.
Tambah Misi Aini lagi, kejadian banjir pada penghujung tahun di Pantai Timur adalah masalah yang kerap berlaku dan memerlukan perhatian lebih serius.
"Sepatutnya perkara ini dikaji dengan mendalam, tetapi tiada perubahan yang dilakukan. Saya berharap perubahan ini dapat berlaku mulai tahun depan," katanya.
Kedua-dua pengguna media sosial itu membuat hantaran komen tersebut di laman Facebook Fadhlina selepas beliau memuat naik beberapa gambar melawat salah sebuah pusat operasi PPS di Kelantan di laman media sosial rasminya pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan seramai 2,000 calon SPM dikenal pasti terjejas banjir di beberapa negeri.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata, mana-mana calon SPM yang terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan.
"Calon yang terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan itu di pusat peperiksaan alternatif supaya tiada calon yang tercicir malah, semua pusat peperiksaan sudah dimaklumkan dan bersedia menerima calon daripada luar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram