Bukan lagi sekadar RM10 hingga RM15, ada sanggup bayar cecah RM100 guna khidmat tukang gunting rambut tradisional India


  • Bizz
  • Sabtu, 30 Nov 2024

Sri Suthagar mengenakan bayaran kira-kira RM100 setiap perkhidmatan potongan rambut premium bagi lelaki.

LAZIMNYA, harga perkhidmatan di kedai tukang gunting rambut tradisional India di dalam negara ditetapkan sekitar antara RM10 hingga RM15.

Namun, ramai berkemungkinan belum mengetahui bahawa terdapat sesetengah pelanggan sanggup membayar sehingga RM100 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut pada tahap premium.

Tukang gunting rambut, Sri Suthagar Krishnan berkata, industri tersebut mula menunjukkan perubahan dengan ada pelanggan sanggup membayar lebih bagi pengalaman dandanan peribadi berkualiti tinggi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Barber Sri Suthagar Krishnan, 36, holding three Mizutani's scissors cost more than RM10K at his Adhimaatra Barber Shop in Jalan Kuala Kangsar, Penang. ( November 23, 2024 ) — CHAN BOON KAI/The Star

Sri Suthagar menunjukkan alatan yang digunakan untuk menggunting rambut.

“Berbeza dengan tukang gunting rambut tradisional India yang mengenakan bayaran sederhana untuk pekerjaan mereka, saya mengenakan bayaran kira-kira RM100 setiap perkhidmatan potongan rambut untuk lelaki.

“Pelanggan menghabiskan lebih banyak masa di sini, menikmati potongan rambut dan rangkaian perkhidmatan premium seperti penggayaan, pencukuran dan pencucian menggunakan alatan dan teknik berkualiti tinggi.

“Setiap gunting yang saya miliki adalah buatan tangan dari Jepun dan berharga lebih RM3,000.

"Terdapat juga kos lain terlibat dalam menjalankan perniagaan seperti keperluan menghadiri kursus meningkatkan kemahiran secara berterusan," kata lelaki berusia 36 tahun itu, yang mengusahakan kedai gunting rambut di George Town, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Sri Suthagar percaya terdapat kekurangan daripada segi bekalan pekerja yang mahu berkhidmat sebagai tukang gunting rambut.

Barber Sri Suthagar Krishnan, 36, also providing shaving service for customer at his Adhimaatra Barber Shop in Jalan Kuala Kangsar, Penang. ( November 23, 2024 ) — CHAN BOON KAI/The Star

Menurut Sri Suthagar, ada pelanggan sanggup membayar lebih bagi pengalaman dandanan peribadi berkualiti tinggi.

Ujarnya, situasi itu didakwa berlaku sebahagiannya kerana kurangnya pemahaman mengenai potensi dimiliki dalam kerjaya tersebut.

“Ramai, terutamanya masyarakat India, mengelak daripada mengikuti pekerjaan sebagai tukang gunting rambut kerana ia sering dilihat sebagai pekerjaan bergaji rendah yang menawarkan perkhidmatan potongan rambut asas.

“Orang ramai melihatnya sebagai satu profesion yang mudah dengan pertumbuhan kerjaya yang terhad. Bagaimanapun, gunting rambut boleh menjadi kerjaya premium dengan prospek hebat, terutamanya dengan peningkatan perkhidmatan terhadap dandanan mewah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi tukang gunting rambut, S. Mari Muthu berkata, dia berdepan kesukaran untuk mengembangkan perniagaannya kerana kos permit pekerjaan yang tinggi untuk pengambilan pekerja asing.

“Saya membayar pekerja saya RM1,500 sebulan, dan dengan komisen hasil kerja kerasnya, dia memperoleh lebih RM2,000.

“Tetapi saya perlu mengeluarkan kos sekitar RM3,000 setahun untuk permit mengupah tukang gunting rambut dari India.

"Dengan banyak kedai gunting rambut dikendalikan oleh warga asing kini beroperasi di bandar, tukang gunting tradisional India kami menghadapi persaingan yang semakin meningkat," kata Mari Muthu yang turut menggaji seorang pekerja dari Tamil Nadu, India selama sembilan tahun.

Walaupun berdepan cabaran, Mari Muthu, 58, tetap mengekalkan harga khidmat gunting rambut pada RM10 selama lebih 10 tahun.

Sebagai pemilik salun generasi ketiga di bandar tersebut, lelaki itu berkata, dia perlu memastikan harga ditawarkan mampu milik untuk terus berkhidmat terutamanya kepada pelanggan tempatan yang kebanyakannya menjadi pelanggan tetap sejak zaman datuknya.

“Saya mewarisi perniagaan ini daripada bapa saya dan masih melayani kira-kira 80 peratus pelanggan tempatan, dengan kira-kira 20 daripada pelanggan setiap hari,” katanya.

Dia mengenakan bayaran antara RM10 dan RM12 untuk potongan rambut asas, dengan tambahan RM5 untuk khidmat bercukur.

Barber Sri Suthagar Krishnan, 36, cutting a customer's hair using branded scissors worth more than RM3000 at his Adhimaatra Barber Shop in Jalan Kuala Kangsar, Penang. ( November 23, 2024 ) — CHAN BOON KAI/The Star

Sri Suthagar ketika menggunting rambut salah seorang pelanggan di kedainya.

“Saya telah mengekalkan harga ini selama lebih sedekad, tanpa kenaikan walaupun selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Pesara, M. Sivakaran, 76, yang memotong rambut di kedai itu memuji sikap berhati-hati dan kemahiran tukang gunting di kedai terbabit khususnya penggunaan gunting berbanding mesin.

“Saya telah datang ke sini setiap bulan sejak saya menemui tukang gunting ini beberapa tahun lalu.

“Kira-kira 40 tahun lalu, potongan rambut hanya berharga RM2. Hari ini, walaupun kos sara hidup dan harga barangan termasuk makanan naik, saya masih mampu untuk gunting rambut di sini,” katanya.

Tinjauan di bandar menunjukkan bahawa banyak kedai gunting rambut tradisional kini dikendalikan oleh warga asing, dengan kebanyakannya mengenakan bayaran antara RM10 dan RM15 setiap khidmat potong rambut.

Namun, perniagaan terbabit biasanya tidak mempunyai sentuhan peribadi, tanpa pemilik yang bersedia untuk berunding atau berinteraksi dengan pelanggan sebelum potongan rambut mereka. — The Star/LO TERN CHERN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram