[VIDEO] Reda dan pasrah, pengusaha pasir di Sungai Kelantan rugi cecah RM60,000 setiap kali musim banjir


  • Massa
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Keadaan paras air yang semakin meningkat di Sungai Kelantan pada Jumaat.

SITUASI banjir di Kelantan kini semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa dilaporkan terus meningkat kepada 66,038 orang membabitkan 20,645 keluarga dari 10 daerah terjejas.

Penduduk di sekitar kawasan Kota Bharu, Kelantan juga sanggup bersengkang mata untuk memantau paras air di Sungai Kelantan.

Antara yang turut mengambil langkah sama, Mohammad Faiz Rusli, 35, tidak terkecuali dalam melakukan pemantauan di sekitar sungai tersebut kerana bimbang akan menyebabkan limpahan air.

BACA LAGI: Bayi 9 bulan nyaris lemas dalam kereta terkunci di Sandakan

BACA LAGI: [VIDEO] Budak lelaki patah tangan rempuh pagar besi akibat dikejar anjing liar di Klang

Mohammad Faiz yang merupakan pengusaha syarikat pembekal pasir di kawasan itu berkesempatan berkongsi pengalaman dan cabarannya apabila berdepan dengan musim banjir.

Sebelum ini, dia pernah memuat naik video memaparkan keadaan paras air di Sungai Kelantan ketika memantau tapak pengumpulan pasir miliknya dan keluarga.

Katanya, paras air di sungai semakin meningkat setiap hari tetapi bergerak lebih perlahan pada Jumaat berbanding hari-hari sebelumnya.

"Namun, ia tetap membimbangkan kami sebab Sungai Kelantan ini memang sering terjejas bila musim tengkujuh.

"Kawasan ini sentiasa memang naik air setiap tahun. Kalau buat benteng atau halangan pun tak dapat bendung sebab ia bukan sungai kecil.

"Walaupun ada benteng lebih 9 meter (m) sekali pun tetap akan melimpah. Macam penapis pasir di tapak kami tinggi lebih kurang sama pun tenggelam," katanya kepada Majoriti.

Mohammad Faiz berkata, dia dan beberapa ahli keluarga lain melakukan pemantauan sekurang-kurangnya dua kali setiap hari.

Pemeriksaan itu juga dilakukan untuk membersihkan halangan seperti sampah atau kayu balak yang sering terbawa arus deras sungai.

6217471233117766402

Mohammad Faiz menasihatkan penduduk yang terjejas berwaspada dan berhati-hati.

Dia pada masa sama tidak menafikan bahawa terpaksa menanggung kerugian setiap tahun apabila tiba musim banjir.

"Memang ada alami kerugian banyak setiap tahun. Biasanya minimum RM50,000 sehingga RM60,000.

"Kami alami kerugian sebanyak RM40,000 ke RM50,000 pada 2023. Kos sangat tinggi sebab ia melibatkan proses baiki jalan masuk, penapis pasir dan lain-lain yang rosak bila ditenggelami air," jelasnya.

Ditanya pula tentang persiapannya apabila tiba musim banjir, Mohammad Faiz sememangnya akan memantau paras air berhampiran tebing-tebing di kawasan sekitar sungai.

Menurutnya, sekiranya paras air semakin meningkat di kawasan tebing, mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Tetapi, kami terpaksa reda kalau paras air dah terlalu tinggi. Kebiasaannya paras air banjir boleh diukur pada tiga fasa iaitu pada November, Disember dan awal Januari.

"Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya, fasa pertama tahun ini pun dah nampak teruk," ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram