SEORANG kanak-kanak lelaki dilaporkan cedera parah selepas terjatuh akibat dikejar seekor anjing liar di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor pada 22 November lalu.
Menerusi video tular di media sosial sejak Jumaat, kanak-kanak itu dilihat berlari dengan laju masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri daripada digigit anjing.
Ketika kejadian, kelihatan beberapa ahli keluarganya cuba membantu dengan membuka ruang kecil di pagar besi mereka.
Mangsa bagaimanapun bertindak melompat dan melanggar pagar besi rumahnya sebelum tersungkur di lokasi kejadian.
Akibat daripada insiden itu, mangsa dikatakan patah tangan dan dimasukkan ke hospital.
Berdasarkan video terbaharu dimuat naik di akaun TikTok @shideesan, mangsa terlantar di hospital dengan keadaan satu tangannya dibalut.
Namun, belum dapat dipastikan sama ada terdapat kecederaan lain disebabkan kejadian tersebut.
Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan terbabit berhubung kejadian berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram