[VIDEO] 'Tolong, ada baby baru lahir', mangsa terperangkap banjir serbu 'posting' MB Kelantan mohon bantuan


  • Massa
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Mohd Nassuruddin Daud menghulurkan bantuan banjir kepada mangsa banjir di Kelantan.

ORANG ramai memuji tindakan Menteri Besar Kelantan yang sanggup menaiki bot demi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di sekitar Kelantan.

Menerusi hantaran di media sosial, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilihat sanggup meredah hujan bagi memastikan misinya itu berjalan dengan lancar.

Turut dilihat, beliau membawa bersama pek makanan dan singgah ke pusat pemindahan banjir (PPS).

BACA LAGI: [VIDEO] Dibuli senior kerana enggan beri wang, murid usia 9 tahun sekolah di Subang meninggal dunia lepas koma 3 hari

BACA LAGI: [VIDEO] Niat nak tangkap ikan tak kesampaian, anggota tentera maut kena sambar petir ketika tambat perahu

Difahamkan, usaha itu dilakukan sejak Rabu selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin berharap agar semua mangsa banjir tabah dan sabar menghadapi ujian yang menimpa mereka.

"Arus kuat dan air makin meningkat. Semoga semua mangsa banjir tabah dan sabar. Kita bantu dan ikhtiar sebaiknya," katanya.

Dalam hantaran yang sama, ramai individu yang terjejas ketika banjir turut mengambil kesempatan untuk memperoleh bantuan daripada pihak berwajib.

Antaranya, seorang pengguna, Nur Athirah Khairuddin mendedahkan bahawa ramai penduduk di Kampung Dalam Parit, Jalan Meranti yang masih terperangkap akibat banjir.

"Yb minta bantuan ke Kampung Dalam, Parit Meranti. Ramai penduduk terperangkap dari Khamis sehinggakan semua berkumpul di surau. Dalam surau yang tinggi pun sudah dinaiki air," tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Ameer Firdauz turut berharap pihak berwajib membantu ahli keluarganya yang tidak mampu keluar susulan banjir.

"Assalamualaikum, minta tolong bantu mangsa banjir di Kampung Banggol Che Wan. Lokasi rumah di Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Taman Kebun Raja, Meranti.

"Orang tua saya tersekat kerana air. Tak boleh keluar. Bukan itu sahaja, dalam rumah ada bayi usia tiga bulan, kanak-kanak berusia empat dan lima tahun, warga emas sakit kronik," katanya.

Individu lain, Suhaida Suhaimi turut memohon agar bantuan disalurkan kepada ahli keluarga.

"Tolong-tolong. Ada baby yang masih baru bersalin. Adik tengah berpantang. Lokasi di Kampung Siput. Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi nombor mangsa 011-11970604. " katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram