BANJIR yang melanda negeri Kelantan pada musim tengkujuh bukan lagi sesuatu yang asing bagi penduduk negeri itu.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan paras air sungai utama, seperti Sungai Kelantan dan Sungai Golok, meningkat ke tahap bahaya, dengan beberapa kawasan rendah mula dinaiki air.
Bagi penduduk tempatan, kejadian banjir yang melanda negeri Cik Siti Wan Kembang itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan kebanyakan mereka sudah bersedia sejak beberapa bulan lagi dengan menyediakan benteng banjir sementara bagi mengelakkan air masuk ke rumah.
BACA LAGI: Badan sudah mula mereput, lelaki ditemui maut dalam kereta mewah di Besut
BACA LAGI: Jurugambar rakam majlis aspirasi SMK Ayer Molek sayu, tak sangka gambar Faiz Amran tinggal kenangan
Namun, tindakan seorang pemandu lori yang didakwa bersikap mementingkan diri sendiri memandu laju di kawasan banjir di Kampung Ladang Merdeka Ana dekat Tumpat, Kelantan pada Khamis mengundang perdebatan dalam kalangan warga maya.
Melalui perkongsian seorang pengguna Facebook, Andy Pua mendakwa kawasan tersebut sudah dinaiki air ekoran daripada hujan lebat sejak beberapa hari yang lalu.
Sehubungan itu, kemunculan lori tersebut dikatakan mengeruhkan lagi keadaan di kawasan itu kerana menghasilkan 'ombak' yang boleh meruntuhkan pagar dan benteng sementara yang dibina penduduk.
"Orang kampung mengamuk, disebabkan pemandu lori tak fikir panjang. Kesan dan akibat meredah air," tulisnya pada Khamis.
Andy yang juga salah seorang penduduk di kawasan berkenaan turut memuat naik satu video berdurasi lebih seminit memaparkan situasi tersebut.
"Ada pertelingkahan di antara penduduk dan pemandu lori masuk ke kawasan ini sehingga menyebabkan kerosakan.
"Orang kampung datang kejar sebab bila dia (pemandu lori) melalui kawasan banjir akan menghasilkan 'ombak' sehingga menyebabkan pagar (benteng) runtuh. Pada masa sama, alunan air kuat itu juga menyebabkan barang-barang yang telah disusun akan jatuh.
"Sehubungan itu, kami tidak membenarkan dia melalui jalan di kawasan ini bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk berlaku di rumah penduduk yang lain," katanya.
Penduduk di Tumpat sudah mula memindahkan barang keperluan masing-masing di tempat yang lebih selamat ekoran daripada paras air yang semakin naik. — Gambar/Andy Pua
Menjengah ke ruangan komen, Mohd Mamat mendakwa tindakan penduduk di kawasan itu tidak wajar dan akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Seharusnya berfikir rasional, jangan marah pemandu. Mereka hanya menjalankan tugas.
"Mungkin dia bawa stok makanan. Saya tahu alunan ombak itu memang menyakitkan hati tetapi dia juga perlu kerja. Boleh sahaja dia bawa perlahan-lahan lalu air," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya Din Parang pula mencadangkan setiap komuniti perlu melantik seorang ketua dan mewujudkan undang-undang khas bagi mengelakkan perkara sama berlaku.
"Sebab itu perlu wujud undang-undang dan lantikan ketua dalam komuniti bagi mengelakkan perkara seperti ini terjadi.
"Suka hati dia (penduduk kampung) buat keputusan. Pernah dahulu terjadi mereka tak benarkan lori tentera melalui kawasan mereka atas alasan air masuk rumah.
"Sedangkan pada waktu itu kesemua rumah sudah dinaiki air paras bumbung," dakwanya.
Untuk rekod, Kelantan mencatatkan jumlah teramai dengan 32,858 mangsa di 10 daerah. Ia membabitkan 989 keluarga dan sejumlah 166 pusat pemindahan sementara dibuka.
Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 14,315 orang, Tumpat (4,464), Kota Bharu (3,951), Pasir Puteh (3,931), Kuala Krai (3,915), Tanah Merah (3,621), Machang (2,745), Bachok (1,858), Jeli (896) dan Gua Musang (32). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram