SEORANG lelaki di Kampung Chapu, Kuala Berang, Terengganu dengan kreatifnya mengikat tiga tong drum besi pada katil boleh laras milik bapanya yang terlantar sakit bagi memastikan warga emas itu selamat ketika rumah mereka dilanda banjir baru-baru ini.
Zulkifli Che Noh, 37, berkata, idea menggunakan tong besi itu dicadangkan oleh penduduk Kampung Chapu.
Bapanya, Che Noh Che Hassan, 79, difahamkan tidak dapat bangun dan hanya mampu duduk sejak awal tahun 2024 kerana mempunyai masalah saraf.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis giat buru 4 suspek samun bersenjata di premis beli hasil sawit di Bukit Selambau
Media melaporkan banjir di Terengganu semakin membimbangkan. — Agensi
“Bapa saya menghidap penyakit saraf selama 20 tahun tetapi sudah 10 tahun dia terlantar di katil.
“Sebelum ini, dia masih boleh duduk di kerusi untuk beberapa minit namun tahun ini, dia tidak lagi boleh duduk dan hanya mampu berbaring.
“Sebelum ini apabila rumah dinaiki air, bapa akan duduk di kerusi dengan pemegang dan saya serta penduduk kampung akan membawanya ke rumah tingkat atas.
“Dengan cara menggunakan tong drum ini, kami tidak perlu lagi membawanya ke tingkat atas,” katanya.
Usaha Zulkifli untuk memastikan bapanya selesa dan selamat terbukti berguna apabila katil itu berjaya terapung setelah air banjir naik ke paras paha pada petang Rabu lalu.
Tambahnya, bapanya juga tidak perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ketika rumah dinaiki air.
“Bapa saya tidak selesa di pusat pemindahan kerana keadaan kesihatannya.
“Dengan cara ini juga, ibu (Zainab@Halimah Ismail, 77) dan adik-beradik boleh bergilir-gilir menjaga bapa di rumah sementara yang lain di pusat pemindahan,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, keluarganya akan berusaha untuk memujuk Che Noh supaya berpindah ke pusat pemindahan jika banjir semakin teruk.
Jelasnya, rumahnya sering dinaiki air setiap tahun semasa musim monsun kerana berdekatan dengan sungai dan difahamkan dia sudah terbiasa dengan keadaan itu sejak kecil. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram